Padang Kompleks Sukan PKNS: Datuk Bandar PJ Akan Buat Keputusan - Khalid Ibrahim

Diterbitkan: Selasa, 5 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohamad Roslan Sakiman akan membuat keputusan berhubung permohonan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan Padang Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya.

"Perkara ini mesti dilakukan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya kerana permohonan itu dihantar kepada Datuk Bandar PJ," katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan wakil Pihak Berkuasa Tempatan di sini, Selasa.

Beliau berkata Mohamad Roslan akan mengemukakan keputusan itu kepada PKNS, dan PKNS boleh membuat rayuan jika permohonannya ditolak.

"Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan membuat keputusan jika PKNS merayu," katanya.

Mohamad Roslan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata MBPJ tidak akan meluluskan sebarang permohonan untuk membangunkan projek komersial di padang yang terletak di SS7 Kelana Jaya.

Cadangan pembangunan itu mendapat bantahan penduduk setempat yang mahu mengekalkannya sebagai kawasan hijau tempat mereka beriadah. Mereka khuatir pembangunan baharu akan meningkatkan lagi aliran lalu lintas di kawasan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan