Felda Diminta Turun Padang, Jelaskan FGVH

Diterbitkan: Selasa, 5 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Pihak pengurusan Felda Berhad diminta turun padang sekali lagi untuk menjelaskan kepada peneroka di seluruh negara mengenai manfaat penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Felda Lakum, Aziz Awang berkata ini kerana masih ramai peneroka didapati bimbang penyenaraian itu akan menyebabkan tanah mereka tergadai.

"Seramai 100 daripada 505 peneroka Felda Lakum Lanchang menolak pemberian saham FGVH kerana khuatir FGVH akan kerugian sekali gus mengakibatkan mereka kehilangan tanah," katanya kepada Bernama, di sini pada Selasa.

Aziz berkata beliau percaya kumpulan peneroka terbabit termakan hasutan pihak luar yang menyebarkan pelbagai maklumat tidak tepat mengenai usaha penyenaraian tersebut.

"Walaupun mereka ini tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH di pasaran saham, tetapi mereka turut mengambil wang durian runtuh RM5,000 yang diberikan Felda baru-baru ini," katanya.

Beliau turut menyarankan agar saham yang ditolak kumpulan peneroka terbabit diagih kepada peneroka di 317 buah tanah rancangan Felda di seluruh negara yang berminat. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan