Bersih 3.0: Suaram Hantar Memorandum Minta Gugurkan Dakwaan

Diterbitkan: Selasa, 5 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pada Selasa menyerahkan memorandum kepada Pejabat Peguam Negara supaya dapat menggugurkan dakwaan terhadap pelatihnya Tan Kong Hai yang ditahan ketika memasang poster Bersih 3.0 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang April lepas.

Pengarah Eksekutif Suaram, E. Nalini mendakwa pendakwaan terhadap pelatih itu adalah satu intimidasi terhadap seorang aktivis kerana beliau hanya menampal poster perhimpunan di USM untuk memberikan kesedaran mengenai tuntutan menjalankan pilihan raya yang lebih adil dan bersih.

"Tan hadir di kampus atas jemputan kawan-kawannya. Tiada unsur-unsur pencerobohan berlaku. Malah perbuatannya juga tidak menyebabkan kecederaan kepada mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada pegawai perhubungan awam Jabatan Peguam Negara Nasrudin Mahmud di sini.

Hadir sama untuk memberikan sokongan adalah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan aktivis Bersih, Hishamuddin Rais.

Tan, 21, pelajar sebuah institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan praktikal di Suaram cawangan Pulau Pinang ditahan pengawal keselamatan USM semasa sedang memasang beberapa keping poster perhimpunan itu di kawasan dewan kuliah pada 2.30 pagi.

Beliau didakwa di mahkamah pada 7 Mei lepas mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan 1976 dan diikat jamin RM1,500. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan