Rakyat Boleh Nilai Sikap Pesara Kerajaan Sertai Pembangkang - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 4 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad berkata terpulang kepada rakyat untuk menilai sendiri tindakan beberapa pesara kerajaan yang dilapor telah menyertai parti pembangkang.

Sambil berkata itu adalah pilihan masing-masing, beliau menegaskan: "Tapi kita juga harap mereka faham bahawa sewaktu mereka berkhidmat dalam kerajaan, mereka telah bersama dengan kerajaan dan melaksanakan dasar kerajaan.

"Kalau mereka tak puas hati, tidaklah sampai mereka harus tinggalkan (kerajaan) hanya kerana satu dua perkara yang mungkin menyebabkan mereka tidak puas hati."

Muhyiddin mengulas tindakan beberapa pesara kerajaan berpangkat tinggi yang menyertai parti pembangkang, termasuk bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Fauzi Shaari.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan di sini.

Ditanya sama ada bekas penjawat awam terikat dengan Akta Rahsia Rasmi yang melarang mereka daripada mendedahkan rahsia kerajaan, Muhyiddin menjawab, "Ya".

Menjawab pertanyaan lain, beliau berkata kerajaan BN tidak bimbang dengan program 'Himpunan Hijau ke Putrajaya' anjuran PAS di Alor Setar, Jumaat lepas.

Menurutnya, PAS memilih untuk mengadakan program itu di Kedah kerana sedar sokongan terhadap mereka di negeri itu semakin merosot.

Ia merupakan cubaan untuk meraih kembali sokongan rakyat Kedah yang dilihat semakin meninggalkan parti pembangkang itu, kata Muhyiddin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan