Majikan Jangan Berdiam Diri Jika Pembantu Rumah Tidak Kompeten - Mama

Diterbitkan: Isnin, 4 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Majikan di negara ini dinasihatkan supaya tidak mengambil sikap berdiam diri sekiranya pembantu rumah mereka didapati tidak kompeten atau tidak sesuai untuk bekerja.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, sikap berdiam diri itu selama ini berpunca daripada kebimbangan mereka mengenai kesukaran untuk mendapatkan pengganti pembantu rumah yang baru.

“Majikan bersikap begitu kerana mereka memikirkan mengenai kesukaran untuk mendapatkan pembantu rumah pada masa ini. Inikan pula mereka sudah ada (pembantu rumah) dan mahu menukarkannya kepada yang lain.

“Tetapi mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian sekiranya pembantu rumah benar-benar tidak kompeten dan agensi pekerjaan pula perlu bertanggungjawab untuk membuat gantian,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Beliau mengulas mengenai agensi pekerjaan Malaysia perlu mengganti pembantu rumah Indonesia dalam tempoh dua minggu jika pembantu rumah itu tidak sesuai dalam tempoh tiga bulan pertama atau melarikan diri atau tidak kompeten dalam tempoh enam bulan pertama bekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Ahad berkata, jika tiada penggantian dibuat, agensi pekerjaan Malaysia berkenaan perlu menggantikan kos pengambilan pembantu rumah terbabit dalam tempoh empat minggu.

Bagaimanapun, Engku Ahmad Fauzi berkata, majikan juga tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan alasan tidak kompeten hanya kerana mereka tidak menyukai seseorang pembantu rumah itu.

“Tidak sesuai atau tidak kompeten adalah terlalu subjektif. Lain majikan, lain KPI (petunjuk prestasi utama) mereka terhadap pembantu rumah.

“Dan pembantu rumah juga sebenarnya mereka yang terlatih dalam bidang-bidang tertentu sebelum dihantar untuk berkhidmat dengan majikan di negara ini,” katanya.

Beliau menambah, perspektif tidak kompeten itu mungkin berpunca daripada keadaan apabila pembantu rumah tidak dapat menjalankan tugas di luar skop kerja mereka.

Maka sebab itu kata beliau, semuanya perlu dilihat berdasarkan perjanjian persefahaman antara majikan dan pembantu rumah mengenai tangungjawab masing-masing.

“Majikan tidak boleh kata pembantu rumah tidak cekap jika tugas yang diarahkan tidak terkandung dalam perjanjian dari bidang tugas yang telah dipersetujui.

“Ini bergantung pada persetujuan antara kedua-dua pihak. Sama ada majikan atau pembantu rumah, masing-masing mempunyai hak untuk bersuara bagi mencapai persefahaman kerana mereka saling memerlukan,” kata Engku Ahmad Fauzi.

Malaysia masih memerlukan 100,000 pembantu rumah dari Indonesia selepas pembekuan terhadap penghantaran pembantu rumah dari negara itu ditarik balik oleh kerajaan Indonesia baru-baru ini.

Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia menerima antara 70,000 dan 80,000 permohonan untuk mendapatkan pembantu rumah dari negara itu yang dijangka akan terus meningkat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan