Lebih Banyak Tender Dibuka Untuk Syarikat Kecil Selenggara Jalan Persekutuan

Diterbitkan: Isnin, 4 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Kementerian Kerja Raya akan memberi lebih banyak peluang kepada syarikat kecil untuk terlibat dalam penyelenggaraan jalan persekutuan menerusi tender terbuka.

Menterinya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, kementeriannya mensasarkan pembabitan sekurang-kurangnya 50 peratus kontraktor kelas D, E dan F tahun ini, berbanding hanya 30 peratus tahun lalu.

"Melalui tender terbuka untuk kerja penyelenggaraan berkala kepada kontraktor kelas D, E dan F, ia lebih bagus untuk pengagihan kek ekonomi industri pembinaan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2012, di sini Isnin.

Shaziman berkata, ketika ini kerja penyelenggaran berkala diberi kepada syarikat konsesi sedangkan mereka sudah diberi projek penyelenggaraan rutin, iaitu tiga syarikat di Semenanjung dan lima di Sabah dan Sarawak.

Kerja penyelenggaraan rutin melibatkan kerja seperti menampal lubang atau baik pulih keretakan permukaan jalan, memperbaiki bahu jalan, memotong rumput, membersih dan mengecat papan perabot jalan seperti papan tanda, pembentungan serta pemeriksaan harian dan rutin.

Kerja penyelenggaraan berkala pula membabitkan antaranya membaik pulih pembentung, menggantu penghadang jalan, mengganti papan tanda dan pelbagai kerja pembaikan berjadual.

Shaziman berkata, tahun lepas, sebanyak RM268.7 juta diperuntuk bagi penyelenggaraan rutin manakala penyelenggaraan berkala sebanyak RM246 juta.

"Kerja penyelenggaraan rutin memang kita berikan kepada konsesi tetapi penyelenggaraan berkala terpulang kepada JKR untuk menentukan sama ada beri kepada konsesi atau dibuat tender terbuka. Jadi saya minta JKR mengadakan mekanisme bagi mempercepatkan sebut harga proses bagi penyelenggaraan berkala," katanya.

Beliau berkata, sehingga hujung tahun ini, kementerian itu memperuntukkan RM170 juta bagi syarikat kecil terlibat dalam penyelenggaraan berkala.

"Bagi syarikat-syarikat konsesi, saya berharap mereka dapat memikirkan kaedah baru untuk kerja-kerja penyelenggaraan menggunakan teknologi terkini.

"Teknologi yang ada sekarang ini, syarikat-syarikat kecil pun boleh buat jika diberi peluang. Syarikat konsesi tidak boleh berpuas hati," katanya.

Beliau juga menolak kebimbangan mengenai kualiti perkhidmatan oleh kontraktor kecil.

"Kalau kita tak beri peluang kepada kontraktor kecil macam mana kita nak bimbing mereka. Ada 60,000 kontraktor di negara ini yang berdaftar dengan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) dan daripada jumlah itu 27,000 adalah kontraktor kelas F," katanya.

Katanya, sehubungan itu, kerja penyelenggaraan untuk jalan baru selepas ini akan dibuat secara tender terbuka supaya lebih banyak kontraktor mendapat peluang.

"Sebagai permulaan, terdapat 10 projek jalan baru yang akan dibuka tender penyelenggaraannya kepada awam di bawah Rancangan Malaysia ke-10," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan