Kerajaan Akan Terus Bertindak Tegas Tanpa Kompromi Tepis Ancaman

Diterbitkan: Ahad, 3 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus bertindak tegas tanpa kompromi dalam menepis sebarang ancaman, terutamanya yang menggugat ketenteraman hidup rakyat negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Walaupun tidak disenangi oleh sesetengah puak termasuk kuasa asing, kita tidak akan sesekali tunduk pada mana-mana tekanan dan akan mengambil apa sahaja langkah yang wajar supaya hak majoriti rakyat untuk hidup rukun terus dilestarikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Sabtu.

Sambil menzahirkan setinggi-tinggi junjungan sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Najib berkata kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi matlamat tertinggi kerana kerajaan ini merupakan sebuah kerajaan daripada rakyat untuk rakyat yang mendapat mandat majoriti rakyat selain barisan kepimpinan yang dipilih secara demokratik.

"Makanya kita tidak boleh dengan berwenang-wenang membiarkan asas terpenting demokrasi, iaitu keunggulan suara majoriti dimusnahkan oleh mereka yang mahu menegakkan kaedah rimba tidak bertempat dengan menganggap siapa yang paling lantang, siapa yang paling licik dan siapa yang paling ganas sebagai kudrat dan kebenaran. Cara gaya dan pegangan seperti ini, wajib ditolak sekeras-kerasnya," katanya.

Beliau berkata sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, adalah menjadi tanggungjawab setiap golongan untuk mempertahankan institusi serta sistem yang terbukti memanfaatkan kehidupan nasional dan bukannya menimbulkan kesangsian apatah lagi ketidakyakinan rakyat terhadapnya.

Justeru, kata Najib, rakyat hendaklah sentiasa menginsafi jerih payah kerajaan mentransformasikan negara dan jangan ada kelompok yang cuba memusnahkan segala pencapaian yang ada hanya kerana kepentingan jangka pendek.

Beliau berkata dialog nasional yang sihat harus sentiasa digalakkan kerana perbezaan pendapat yang disalur secara membina merupakan suatu rahmat kepada rakyat dan negara.

"Maslahat kebangsaan sewajarnya dibincangkan secara tertib bagi mencari penyelesaian terbaik bukannya diluahkan secara tidak keruan lagi menggila di jalanan.

"Penggunaan taktik-taktik kotor yang tidak bertanggungjawab bagi mencapai objektif politik akan hanya merugikan rakyat dan negara. Beringatlah bahawa, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara," katanya.

Najib berkata dewasa ini, umum makin mengetahui bahawa kewibawaan kerajaan secara sengaja terus cuba dipertikai dan diperlekeh oleh sesetengah kelompok.

"Pendek kata, apa pun jua kejayaan yang telah dicipta oleh kita, mereka tidak akan memperakuinya dek kerana tidak mendatangkan laba atau keuntungan, malah merugikan mereka," katanya.

Beliau berkata negara akan jauh ketinggalan dan kalah dalam persaingan sekiranya terbelenggu oleh permasalahan serta perbalahan yang tiada hujungnya.

Perdana Menteri menegaskan walau apa jua halangan waima sehebat mana rintangan, kerajaan tidak sedikitpun terkesima dengan gangguan yang ditimbulkan, malah, akan tetap fokus, cekal lagi tabah bergerak di atas landasan kebenaran demi pertiwi.

"Pucuk pangkalnya, kerajaan Tuanku ini akan terus menegakkan syarat dengan undang-undang, menegakkan adat yang dipegang, menegakkan amanah yang disandang, menegakkan hukum yang ditimbang, menegakkan pusaka yang berbilang dan menegakkan janji yang ditimang," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan