KDN Muat Naik Rakaman Video Bersih 3.0 Rabu Ini - Hishammuddin

Diterbitkan: Ahad, 3 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memuat naik rakaman video perhimpunan haram Bersih 3.0 dalam laman web kementerian itu selewat-lewatnya Rabu ini dilihat dan dinilai sendiri oleh orang ramai.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah kementerian menunjukkan rakaman yang diperoleh daripada pelbagai pihak itu bertujuan membolehkan orang ramai mendapat perspektif sebenar tentang kejadian dalam perhimpunan itu.

Katanya kementerian bersikap terbuka supaya rakyat boleh buat rumusan berdasarkan fakta dan bukan pertimbangan lain yang sempit serta perhitungan tertentu.

"Video ini juga bantu semua pihak yang berkepentingan untuk cari pertimbangan sewajarnya untuk masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama pemimpin dan pelancaran buku 'Dian Desa 2012' di Sekolah Rendah Kebangsaan Ladang Mutiara, Kahang di sini Ahad.

Hishammuddin berkata kementerian juga bersedia menghadapi tindakan saman jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan sumber rakaman video berkenaan.

"Itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab yang terpaksa dipikul dan jika apa yang kami rakamkan itu tidak berdasarkan fakta, kami mengalu-alukan jika ada pihak ingin menyaman KDN.

"Ini kerana apa yang kami kehendaki ialah pembelaan bukan sahaja kepada pihak yang berhimpun tetapi kepada pihak polis juga, pihak media yang dikasari pun tuntut pembelaan," katanya.

Sehubungan itu, katanya tidak ada sebab untuk kementerian menyembunyikan kebenaran dalam visual dan gambar yang dimuat naik itu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha mengesan individu yang terlibat dalam perhimpunan haram itu akan dilakukan secara berterusan sehingga mereka yang terlibat dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

Beliau menyeru orang ramai supaya turut sama membantu polis untuk mengesan mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan