Rakyat Perlu Bersatu, Jangan Cari Jalan Untuk Bermusuh - Titah Agong

Diterbitkan: Sabtu, 2 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Sabtu bertitah mengingatkan rakyat supaya bersatu padu ke arah kebaikan dan tidak mencari jalan untuk bermusuhan sesama sendiri, yang pada akhirnya akan hanya mendatangkan musibah kepada semua.

"Apakah yang akan kita tinggalkan kepada darah daging kita, anak cucu kita, selaku generasi akan datang. Adakah sebuah negara yang punah atau watan yang makmur sejahtera. Pada hemat beta, semua pilihan ini terletak dalam tangan setiap rakyat Malaysia.

"Sekalipun atas nama politik atau apa-apa organisasi janganlah sehingga sanggup meletakkan ia melebihi kepentingan negara, hatta mengkucar-kacirkan keharmonian. Ini ternyata suatu perkembangan yang tidak sihat dan sewajibnya dielakkan," titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Tuanku Abdul Halim berkata hakikatnya, kejayaan sebenar negara adalah apa yang akan dicapai di garis-garis hadapan dan bukannya tersimpul dalam detik-detik silam dan ia terbina atas harapan, impian, imaginasi dan usaha gigih semua anak-anak Malaysia.

"Dalam aspek ini, beta yakin, tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa keunikan Malaysia adalah tentang pendirian kerajaan yang mentadbir sejak sekian lama menurut kerangka serta acuan kita sendiri.

"Justeru, sebagai rakyat yang sentiasa berpaksikan kepada nilai-nilai murni dan adat budaya ketimuran, janganlah kita mengikut telunjuk negatif anasir-anasir luar yang cuba campur tangan dalam urusan negara termasuk dalam hal-hal seperti membudayakan demonstrasi jalanan," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim berkata sepanjang lebih lima dekad pemerintahan institusi raja berperlembagaan, sekalipun pemegangnya silih berganti, ia terus didokong dan dipertahan sebagai lambang peranannya dalam memastikan kestabilan politik, kerukunan, serta keharmonian di Malaysia.

"Malah, yang lebih indah, beta melihat bahawa kedudukan ini akan terus melindungi bukan sahaja kaum Melayu dan Bumiputera, bahkan mencakupi hak serta kepentingan yang sah kepada semua kaum di negara ini.

"Ini antara bukti, bahawa kemajuan pesat yang dinikmati oleh Malaysia, bukanlah terjadi dengan sendiri. Sejak dahulu lagi, ia dibina dan dilapik oleh elemen-elemen asas yang mencorakkan sebuah sistem yang berjaya.

"Segalanya ditonggak oleh teras-teras keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," titah Tuanku Abdul Halim.

Mengimbas lipatan waktu, Seri Paduka bertitah Malaysia telah menempuh pelbagai peristiwa pahit manis.

"Alhamdulilah, di sebalik cabaran dan rintangan yang sesetengahnya hampir mencarik fabrik asas kenegaraan, kita telah mampu keluar daripadanya dengan penuh jaya tanpa sedikit pun mengorbankan prinsip keluhuran Perlembagaan, mahupun kedaulatan undang-undang.

Tuanku Abdul Halim turut bertitah bahawa perjalanan negara masih jauh, dan tidak hanya bermatlamat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, tetapi menjadi negara yang kekal berdaya saing dan sentiasa dihormati di persada antarabangsa.

Justeru, Seri Paduka sekali lagi mengingatkan setiap rakyat bersedia menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sepenuh hati, tidak ada yang terkecuali.

"Rakyat Malaysia perlulah menjadi menjadi warga yang perkasa dan dinamik, yang bukan sahaja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya," titah Seri Paduka.

Seiring dengan perkembangan media baru dan teknologi maklumat, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan golongan muda khususnya, yang merupakan aset negara supaya menperkukuh jati diri masing-masing daripada dipergunakan untuk kepentingan kelompok tertentu.

Tuanku Abdul Halim turut melahirkan rasa sukacita terhadap keprihatinan kerajaan melaksanakan pelbagai program transformasi yang bermanfaat secara terus kepada rakyat sama ada di bandar mahupun di desa.

"Setiap daripada kita perlu bijaksana dan menghargai usaha kerajaan beta yang diketuai oleh Mamanda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Justeru, hanya kitalah yang lebih maklum tentang apa yang perlu serta terbaik untuk mengharungi masa depan bagi menggapai mercu tanda kemajuan.

"Sesungguhnya, pengalaman beta selama puluhan tahun mengamati serta menghalusi perjalanan negara ini, dapatlah beta simpulkan bahawa atas nikmat kehidupan yang dikecapi, rakyat haruslah bersyukur dan berterima kasih dengan terus memberi sokongan di atas usaha gigih kerajaan dalam mentadbir dan mengurus Malaysia sebaik mungkin," titah Seri Paduka.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan