Pekerjaan Bernilai Tinggi Untuk Belia India - Subramaniam

Diterbitkan: Jumaat, 1 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas (SITF) bersedia menarik lebih banyak penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dalam program MyCareer bagi menyediakan pekerjaan bernilai tinggi kepada belia India, sebagai antara usaha untuk merubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Pengerusi SITF bagi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masyarakat India, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata MyCareer merupakan sebahagian daripada usaha SITF untuk membantu masyarakat India terutamanya siswazah untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan dan swasta.

"Kami akan sentiasa berhubung dengan lebih banyak GLC untuk melihat bagaimana kami boleh mendapatkan lebih banyak penyertaan syarikat berkenaan dan menyokong program ini dengan menyediakan lebih banyak pekerjaan bernilai tambah yang akan memberi mereka masa depan yang baik.

"Kami juga bercadang untuk memperluaskan program ini kepada sektor swasta yang akan memberi pekerjaan bernilai tinggi. Kami sudah memaklumkannya kepada syarikat multinasional," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Pada masa ini, sebanyak 28 GLC termasuk Proton Holdings Berhad, TH Plantations dan Malaysian Airports Holdings Berhad telah menyertai MyCareer.

Setakat Mei tahun ini, Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata lebih 300 calon yang memiliki ijazah dan diploma telah ditempatkan di pelbagai GLC di negara ini.

Beliau berharap belia India yang mempunyai ijazah dan diploma terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan perniagaan, akan memperoleh pekerjaan bernilai tinggi dengan pendapatan bulanan melebihi RM2,000.

"Pada kempen terdahulu, kami memberi tumpuan kepada peringkat pembantu jualan wanita dan operator. Dalam kempen ini (MyCareer), kami berhasrat untuk menawarkan tahap kerja yang lebih tinggi.

"Saya mesti menyatakan bahawa GLC ini bekerjasama dengan kami. Kami telah mengadakan banyak perjumpaan dengan mereka berkaitan dengan syarat dan juga untuk memastikan pemohon memenuhi syarat tersebut. "Terdapat kira-kira 2,000 calon dalam pangkalan data. Kami akan cuba sesuaikan supaya kesemua mereka akan mendapat pekerjaan yang bernilai tinggi," katanya.

Subramaniam berkata SITF juga sedang berusaha untuk mengatasi isu pekerjaan melibatkan belia India dari pelbagai sudut, termasuk mengadakan program dengan tentera dan polis untuk meningkatkan pengambilan anggota.

Katanya jawatankuasa itu juga sedang dalam perbincangan dengan kerajaan untuk menambah bilangan belia India dalam perkhidmatan kerajaan walaupun pengambilan penjawat awam telah dikurangkan berikutan langkah kerajaan untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam dan melanjutkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun.

Subramaniam berkata SITF juga sedang memantau bagi memastikan kuota 1,500 pelajar India di peringkat matrikulasi akan diisi bagi sesi pengambilan 2012/2013. "Peningkatan kuota daripada 500 kepada 1,500 tempat akan meningkatkan lagi peluang pelajar India untuk melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya.

Sementara itu, beliau berkata MyDaftar yang mula dilaksanakan pada Februari tahun lepas berjaya menyelesaikan 5,593 kes termasuk 4,023 kes berhubung kewarganegaraan serta 1,570 kes (daftar lewat kelahiran/lewat kad pengenalan/ pindaan maklumat sijil kelahiran dan anak angkat dan perkahwinan). -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan