PNB Akan Umum Nama Syarikat Pertama Untuk Dilupuskan Dalam Waktu Terdekat

Diterbitkan: Khamis, 31 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan mengumumkan pada bila-bila masa dari sekarang nama pertama dari lima syarikat bukan terasnya untuk dilupuskan, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Katanya PNB telah mengenal pasti lima syarikat terbabit dan turut menyatakan pelepasan lima syarikat itu juga termasuk syarikat-syarikat yang bernaung di bawah anak syarikat PNB.

"Pengumuman nama-nama syarikat ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan dalam masa terdekat ini, kita akan mengiklankan satu nama syarikat dahulu untuk pihak-pihak yang berminat dalam syarikat ini yang sealiran dengannya," katanya.

"Kita mahu pelupusan ini dibuat secara telus dan terancang dan proses ini juga akan melibatkan persetujuan dari kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran khidmat tambahan pelaburan unit Amanah Saham Nasional Bhd menenerusi affinOnline.com di sini Khamis.

Hamad Kama Piah berkata satu jawatankuasa bebas juga telah ditubuhkan untuk berbincang dan mengenal pasti pihak-pihak dan syarikat-syarikat yang berpotensi dan dapat membeli kepentingan di dalam lima syarikat itu.

Katanya penjualan lima syarikat bukan teras ini diyakini tidak akan menjejaskan keseluruhan portfolio PNB.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan lepas telah mengumumkan 10 syarikat, masing-masing lima syarikat di bawah Kumpulan PNB dan selebihnya di bawah Khazanah, akan dilupuskan.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelupusan itu bertujuan membolehkan kesemua syarikat itu diserah milik kepada syarikat Bumiputera lain melalui tender terbuka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan