PAS Perlu Bincang Dengan Kerajaan Persekutuan Bina Lebuh Raya - Ku Li

Diterbitkan: Rabu, 30 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS dan kerajaan persekutuan perlu berbincang bagi pembinaan lebuh raya antara Kota Baharu ke Kuala Krai, untuk mengelak pertindihan dalam pelaksanaan projek itu.

Beliau berkata terdapat cadangan supaya kerajaan persekutuan membina lebuh raya yang menghubungkan Kota Baharu, Kuala Krai, Gua Musang di Kelantan hingga ke Bentong di Pahang.

"Semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Gua Musang pada 4 Mei lepas, saya mencadangkan supaya kerajaan persekutuan membina lebuh raya itu dan mendapat respon baik daripada perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas majis perjumpaan dengan Anggota Jawatankuasa MCA bahagian Gua Musang di sini, Rabu.

Razaleigh mengulas mengenai Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasmikan majlis pecah tanah pembinaan lebuh raya rakyat tanpa tol dari Kota Baharu ke Kuala Krai dua hari lepas.

Lebuh raya dua lorong sehala itu yang melibatkan kos kira-kira RM1.8 bilion dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dan kos bagi projek itu turut melibatkan kutipan sumbangan daripada orang ramai.

Razaleigh berkata memang jika tidak ada wang yang mencukupi amat susah untuk membina lebuh raya yang membabitkan perbelanjaan besar.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu amat penting bagi kemudahan penduduk terutama rakyat Kelantan yang berulang alik ke Kuala Lumpur, yang kerap menghadapi kesesakan teruk lalu lintas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan