300 Pemandu Lori Jongket Berhimpun Bantah SPAD

Diterbitkan: Rabu, 30 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

300 pemilik dan pemandu lori jongket berhimpun di Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap operasi SPAD yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka. Perhimpunan selama empat jam bermula 8 pagi -fotoBERNAMA
300 pemilik dan pemandu lori jongket berhimpun di Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap operasi SPAD yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka. Perhimpunan selama empat jam bermula 8 pagi -fotoBERNAMA

MELAKA: Seramai 300 pemilik dan pemandu lori jongket berhimpun di Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, Rabu, sebagai membantah operasi penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Mereka mendakwa operasi itu menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Perhimpunan selama empat jam itu bermula pada pukul 8 pagi, menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila lebih 50 lori jongket diletakkan di bahu jalan kedua-dua hala berhampiran Seri Negeri, bangunan pentadbiran kerajaan Melaka.

Penasihat Persatuan Lori Melaka, Ko Bing Liyong berkata perhimpunan itu bertujuan meminta SPAD menimbang semula peraturan yang digunapakai berhubung muatan lori yang dibenarkan beroperasi di jalan raya.

"Di bawah undang-undang ini, kalau muatan lebih satu atau dua kilogram pun pemandu kena tahan dan permit di gantung, termasuk dikenakan tindakan mahkamah serta denda antara RM1,000 hinga RM50,000," katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum ini, dakwanya pemandu lori tidak berdepan sebarang masalah berkaitan muatan di bawah undang-undang digunapakai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang hanya mengenakan tindakan terhadap pemandu membawa muatan melebihi 30 peratus daripada yang dibenarkan.

Justeru, persatuan dengan lebih 150 anggota itu meminta kerajaan negeri Melaka membantu mencari jalan penyelesaian terbaik pelaksanaan undang-undang di bawah SPAD ini.

Pemandu lori, Roslan Mahbot, 46, berkata tindakan SPAD menimbang muatan yang dibawa, serta menangkap pemandu yang membawa muatan isi rata, menyukarkan kerja mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna Melaka Datuk Ghazale Mohamad berkata pihaknya akan mengatur perjumpaan antara pengusaha dan pemandu lori di negeri ini dengan SPAD bagi membincangkan permasalahan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan