Destinasi Pantai Jadi Tumpuan Semasa Cuti Sekolah - Firefly

Diterbitkan: Isnin, 28 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan komuniti, Firefly dan portal perjalanan dalam taliannya, Firefly Holiday, melaporkan jualan memberangsangkan ke destinasi pantai bagi musim cuti sekolah selama dua minggu yang sedang berlangsung sekarang.

Pakej percutian ke Koh Samui menduduki senarai teratas destinasi percutian, diikuti resort pantai di Phuket, Langkawi dan Terengganu, kata Ketua Pemasaran dan Komunikasi Firefly, Angelina C Fernandez dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata Koh Samui merangkumi 45 peratus daripada pakej percutian yang dijual setakat ini, dengan pakej tiga hari dua malam menjadi pilihan utama.

"Resort pantai masih terus popular kerana keluarga dan golongan dewasa bekerja mencari destinasi di mana mereka boleh berehat, menikmati aktiviti laut dan melarikan diri sebentar daripada hutan batu.

"Pakej golf kami ke Batam, Medan dan Pekanbaru di Indonesia juga mendapat sambutan," katanya.

Bagi menggalakkan percutian golf keluarga, Firefly juga menyediakan pakej membeli belah dan spa kepada anggota keluarga yang tidak berminat dengan golf.

"Bagi memastikan percutian golf keluarga berjaya, kami biasanya menyediakan pakej khusus untuk memastikan mereka yang tidak berminat dengan golf mempunyai banyak aktiviti lain untuk dilakukan ketika ahli keluarga yang menggemari golf bergembira di lapangan golf.

"Selain menjual perjalanan berpakej, kami juga menerima pertanyaan daripada pelanggan bebas yang memilih untuk membeli hanya tiket penerbangan daripada kami dan menggabungkan dua destinasi pantai.

"Kami melihat permintaan baik di sektor Pulau Pinang dan Langkawi dan Phuket.

"Penerbangan antara Subang dan Koh Samui dan Subang ke Kuala Terengganu juga memberangsangkan kerana pengunjung tertarik kepada pantai yang memutih, pemandangan menarik, budaya tempatan dan gaya hidup santai," kata Angelina. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan