Sam Chong Bilionaire Kelahiran Malaysia Pertama Australia

Diterbitkan: Ahad, 27 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Pengusaha lombong Sam Chong muncul sebagai bilionaire kelahiran Malaysia pertama di Australia apabila namanya termasuk dalam senarai 200 Orang Paling Kaya Business Review Weekly (BRW).

Jumlah kekayaan Chong, 69, yang dilahirkan di Tanah Rata, Cameron Highlands, meningkat A$50 juta (RM153.623 juta) daripada A$950 juta (RM2.918 bilion) pada tahun lepas.

Sementara itu, seorang lagi anak Malaysia semakin menghampiri kelayakan untuk menyertai Billionaires' Club. Beliau ialah pemaju hartanah Queensland, Maha Sinnathamby, 72, yang disenaraikan memiliki kekayaan bernilai A$820 juta (RM2.519 bilion), dengan jumlah kekayaannya melonjak dengan ketara bulan demi bulan.

Chong, bapa kepada seorang anak, datang ke Australia pada 1973 untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan perlombongan di University of New South Wales, Sydney.

BRW, majalah perniagaan terkemuka Australia, berkata Chong memainkan pelbagai peranan dalam bidang perlombongan selepas tamat pengajian dan seterusnya menyandang jawatan penting dalam Queensland Coal Mine Management, kini dikenali sebagai Jellinbah Group, pada 1980-an.

Ketika menyertai syarikat itu, beliau bertugas bersama jutawan Jim Gorman dan mendiang Ken Talbot, sebelum mereka menceburi perniagaan lain.

Chong memegang 23 peratus kepentingan dalam syarikat itu, yang memiliki 70 peratus kepentingan dalam dua lombong arang batu bersaiz kecil di Bowen Basin, di tengah Queensland dan kini dalam proses memajukan sebuah lagi lombong.

Bilionaire yang tinggal di Brisbane ini, juga memiliki portfolio meluas dalam biang hartanah di Brisbane dan kawasan sekitarnya, termasuk sebuah pangsapuri bernilai A$70 juta (RM215 juta) dan projek pembangunan hotel di Kawasan Pusat Perniagaan (CBD) Brisbane, yang dijadualkan siap akhir tahun depan.

Sinnathamby pula mempunyai kisah tersendiri dan menjadi lambang jutawan yang berjaya melalui usaha sendiri. Berasal daripada keluarga miskin pada zaman pendudukan Jepun, beliau berangkat ke Sydney selepas tamat belajar di St Paul's Institution, Seremban, untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Greater Springfield kepunyaan Sinnathamby merupakan bandar milik persendirian terbesar yang dibangunkan berdasarkan pelan induk di Australia.

Seorang yang berwawasan jauh, Sinnathamby adalah pemaju bagi keseluruhan kawasan tanah seluas 2,860 di Greater Springfield, yang menjadi tempat kediaman lebih 23,000 penduduk dan 9,000 pelajar sejak ia dibina pada 1991.

Setakat ini, hanya 13 peratus daripada jumlah keluasan itu, yang dibelinya bersama seorang rakan bernama Bob Sharpless dengan harga hanya A$7.2 juta (RM22.12 juta) pada awal 1990-an, telah dimajukan.

Apabila siap sepenuhnya, pelaburan di Greater Springfield, yang terletak kira-kira 45km dari Brisbane, dianggarkan bernilai lebih A$23 bilion (RM70.66 bilion). Sehingga kini, jumlah pelaburan bagi tujuan itu melebihi A$3.2 bilion (RM9.83 bilion).

Greater Springfield mempunyai CBD, taman pusat dan tasik serta presint pendidikan, hospital, di samping presint kesejahteraan dan teknologi maklumat sendiri.

Kesemua empat anak Sinnathamby menceburi bidang pembangunan hartanah dan mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain.

Sementara itu, dua anak Malaysia sekali lagi termasuk dalam senarai orang paling kaya BRW tahun ini. David Teoh dan isterinya Vicky, kedua-duanya berusia 56 tahun, menambah jumlah kekayaan daripada A$484 juta (RM1.487 bilion) pada tahun lepas kepada A$525 juta (RM1.613 bilion) tahun ini melalui perniagaan dalam bidang teknologi. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan