PM Diminta Campur Tangan Selesai Masalah Kuota Haji - Jamil Khir

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melakukan beberapa langkah proaktif bagi memastikan jumlah kuota haji untuk jemaah Malaysia tahun ini tidak terjejas ekoran perhimpunan haram yang diadakan di Mekah dan Madinah pada 26 April lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ramai jemaah telah menyatakan kebimbangan sama ada mereka masih berpeluang menunaikan haji pada tahun ini atau tidak ekoran insiden yang telah mengundang perhatian serius daripada kerajaan Arab Saudi.

Kerajaan Arab Saudi dilaporkan sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau menggantung jemaah haji dan umrah dari Malaysia berikutan insiden perhimpunan haram itu.

Sebagai langkah awal, Jamil Khir baerkata beliau akan memohon bantuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi agar dapat menyelesaikan kebimbangan mengenai kuota haji.

"Saya minta Perdana Menteri untuk bantu kita campur tangan menghubungi Raja Abdullah dan kerajaan Arab Saudi supaya kuota haji tahun ini akan dapat sebagaimana yang kita harapkan kerana persiapan semua kita sudah buat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia Fahad Al Rashid di Bangunan Tabung Haji di sini, Jumaat. "Duta sendiri (Fahad) ada menyebut negara lain yang menghadapi masalah seperti Mesir, Libya dan Iraq tidak membawa masalah itu ke tempat mereka kerana ini (Mekah dan Madinah) tempat ibadah. Kita ambil kira awal-awal perkara ini supaya jangan nanti sampai ke peringkat akhir kata kita tidak berusaha," katanya.

Dalam pertemuan itu, Jamil Khir berkata beliau turut memaklumkan kepada Fahad mengenai kebimbangan berkaitan kuota haji itu dan berharap ia diambil perhatian supaya pengumuman mengenai jumlah kuota diketahui sebelum awal Ramadan. "Biasanya awal Ramadan dah sampai makluman kepada kita, sekarang jemaah sudah mula ambil laporan kesihatan masing-masing, kalau kuota ini dalam proses yang tidak menentu lagi, ia akan merencatkan persiapan yang dah dilakukan," katanya.

Beliau berkata jumlah terkini jemaah yang telah memenuhi syarat untuk menunaikan haji dan berada dalam senarai menunggu adalah seramai 930,000 orang manakala kuota haji pula terhad kepada 28,000 orang sahaja. "Kalau senarai ini kita tidak habiskan walaupun kita faham kuota kita terhad, dan ada lagi perkara-perkara yang boleh membantutkan keadaan, ia akan menyebabkan senarai ini semakin meningkat dan akan mengambil tempoh yang panjang (untuk dihabiskan)," katanya.

Jamil Khir berkata beliau juga akan menulis surat berkaitan kuota haji jemaah Malaysia kepada Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi yang akan disampaikan sendiri oleh Pengurus Besar Kanan Haji, TH Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman minggu depan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan