Bank Diminta Lebih Fleksibel Beri Pinjaman Perumahan Kepada Belia

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Institusi kewangan hendaklah menyediakan pinjaman yang lebih fleksibel kepada golongan muda membeli rumah melalui Skim Rumah Pertamaku, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata kementeriannya menerima aduan bahawa pembeli susah mendapat pinjaman namun institusi kewangan juga kena jaga kerana sekiranya mudah sangat mendapat pinjaman pembeli akan jual balik (rumah) untuk mencari untung.

"Bila ekonomi teruk pembeli susah nak bayar balik pinjaman. Saya minta institusi kewangan beri layanan lebih baik pada pembeli pertama, terutama belia supaya mereka dapat pinjaman dengan syarat lebih munasabah.

"Dengan cara ini pakej pinjaman yang diberikan akan memberi kebaikan bukan sahaja kepada pembeli rumah tetapi juga kepada instutusi kewangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Hartanah sempena Himpunan Jutaan Belia di sini, Sabtu.

Pada 10 Mei lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa Skim Rumah Pertamaku bukan satu jaminan setiap pembeli kediaman berharga antara RM100,000 dan RM400,000 layak diberikan pembiayaan.

Sebaliknya, beliau berkata keputusan muktamad pembiayaan bergantung kepada kemampuan peminjam dan penilaian kredit oleh institusi kewangan yang terlibat.

Dalam pada itu Chor menasihatkan golongan muda agar tidak terlalu memilih ketika membeli rumah pertama dan membeli rumah mengikut kemampuan mereka.

"Kalau mampu beli rumah RM300,000, kita cari pangsapuri di Lembah Kelang, jangan bandingkan harga itu dengan rumah di kampung. Bandar besar susah cari rumah besar seperti di kampung dengan harga tersebut.

"Jadi dapatkan rumah ikut kemampuan. Kemudian bila dapat mengumpul lebih banyak duit dan berpendapatan lebih barulah cari (rumah) yang lebih besar. Mulakan daripada kecil dulu," katanya.

Sementara itu mengulas cadangan bagi menswastakan rumah membakar mayat di Cheras, di Kuala Lumpur, Chor berkata tempat tersebut hendaklah diuruskan oleh pertubuhan yang dapat mengekalkan perkhidmatan dengan mengenakan bayaran munasabah.

"Rumah membakar mayat adalah sebahagian daripada perkhidmatan perlu bagi masyarakat India yang tidak seharusnya diswastakan supaya bayaran minimum dikenakan serta tidak pula membebankan.

"Kita akan bawa perkara ini kepada mesyuarat kabinet yang akan datang. Sekiranya tidak ada pertubuhan yang dapat menguruskannya dengan baik, kita tiada pilihan selain menyerahkannya kepada pihak swasta. Kita akan beri sokongan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan