PAS Perlu Nyata Pendirian Isu PM Bukan Melayu

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGAN DATOH: PAS perlu menyatakan pendiriannya berhubung isu pelantikan individu bukan Melayu sebagai Perdana Menteri, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata parti itu tidak boleh berdolak-dalik dalam isu berkenaan seperti yang berlaku dalam isu muzakarah.

"Adakah apa yang dilontarkan oleh Karpal Singh secara rasmi menjadi pendirian kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Parlimen Bagan Datoh di sini, Jumaat.

Anggota Parlimen Bagan Datoh itu diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam, yang memetik Pengerusi DAP Karpal Singh sebagai berkata selagi hidup, beliau akan terus berjuang memastikan individu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut soal bangsa dalam menentukan jawatan Perdana Menteri tetapi secara konvensyen, perkara itu telah dipersetujui bahawa jawatan tersebut dipegang oleh orang Melayu.

"Kita meminta rakyat membuat penilaian terhadap pendirian dan sikap PAS dalam isu ini," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan