MIC Akan Tubuh Pusat Transformasi Bandar Untuk Kesejahteraan Masyarakat

Diterbitkan: Khamis, 24 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MIC akan menubuhkan pusat transformasi bandar yang berobjektif untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat India.

Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel berkata, pusat itu amat penting kerana 30 peratus masyarakat India, khususnya di bandar, berdepan dengan pelbagai masalah.

"Sesetengah daripada mereka sukar mendapat kerja, gagal mengekalkan kerja, tanpa sebarang pendapatan atau berpendapatan rendah, atau terperangkap dengan pemberi pinjaman wang. Ada yang berdepan hartanah mereka akan dilelong, tidak mampu membayar bil atau malahan menghantar anak mereka ke sekolah," katanya.

Langkah segera perlu diambil untuk membantu mereka dan memulakan program transformasi sosio-ekonomi, disasarkan tahun ini, katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Khamis.

"Jika kita tidak mengambil langkah seperti ini, kita tidak akan dapat membantu mengeluarkan masyarakat India daripada keadaan mereka (yang sukar) ini.

"Mereka perlukan kaunseling yang secukupnya selain bantuan secara langsung," katanya.

Sehubungan itu, Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memperuntukkan bajet yang agak besar untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India yang miskin.

"Kita perlu perkasakan mereka kerana walaupun RM100 juta telah diberikan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia, tidak semua orang boleh mula bekerja," katanya dan menurutnya MIC akan mengadakan perbincangan dengan Najib, sebaik sahaja semua input yang perlu, disediakan dalam dua hingga tiga minggu lagi.

"Kami mahu masyarakat kami tahu bahawa kerajaan membantu mereka dengan sebaik mungkin dan jika janji-janji dikotakan, saya amat yakin sokongan masyarakat India kepada kerajaan akan terus meningkat," katanya.

Beliau juga percaya masyarakat India akan lebih yakin dengan Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan secara berterusan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan