Lawatan PM Ke UK Perkukuh Hubungan Dua Hala

Diterbitkan: Rabu, 23 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke United Kingdom baru-baru ini nampak singkat tetapi ia membuka ruang untuk memperkukuh hubungan dua negara.

Semasa lawatan itu, Najib berkata hubungan yang sudah sekian lama terjalin antara Malaysia dan UK perlu dipupuk seperti mana hubungan yang lain.

Apa yang dikatakan beliau menyimpulkan bentuk hubungan dua hala yang sihat antara kedua-dua negara.

"Hubungan itu perlu digalakkan supaya ia membesar dan berkembang menjadi suatu yang membawa manfaat bersama kedua-dua negara," kata perdana menteri pada pelancaran 'Friends of Barisan Nasional UK'(Rakan Barisan Nasional UK).

Kenyataan Najib itu yang menggambarkan pencapaian Malaysia, program transformasinya dan wawasannya untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 diterima baik oleh audien yang terdiri daripada 100 individu rakyat British dan Malaysia.

Perdana menteri juga berbincang mengenai kenapa Britain harus mengutamakan Malaysia berbanding negara lain dalam Asean (perkumpulan negara-negara Asia Tenggara)dan Asia Timur.)

"Sebenarnya rakyat Malaysia merasakan dengan kepentingan yang diberikan kepada Eropah sejak kebelakangan ini, kami menganggap negara seperti Malaysia patut diberikan lebih keutamaan dan perhatian.

"Kami percaya justifikasi terhadapnya begitu kukuh, kerana bila kita bercakap mengenai pertumbuhan, dari mana pertumbuhan itu datang? Di mana masa depannya? Masa depan terletak di Malaysia, dalam Asean dan Asia Tenggara," kata Najib yang menekankan bahawa Britain patut fokus terhadap negara-negara ini kerana langkah sedemikian akan memberi kelebihan yang nyata.

"Anda mempunyai perasaan muhibbah itu. Perasaan muhibbah yang anda patut pengaruhi bagi manfaat bersama," katanya.

Najib juga menyatakan harapan bahawa pelancaran FBNUK yang dihoskan Lord Sheikh di House of Lords, boleh bertindak sebagai peristiwa signifikan dalam menggalakkan hubungan dua hala.

FBNUK akan secara aktif berusaha menggalakkan hubungan lebih erat dengan UK dan menyebarkan maklumat yang boleh dipercayai, tepat masa dan betul kepada masyarakat Malaysia di Britain.

Ia akan menjadi landasan untuk menggalakkan persahabatan, muhibbah dan persefahaman antara komuniti UK dan Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Seri Zakaria Sulong, berkata kelab itu ditubuhkan oleh rakyat Malaysia di UK dan mereka yang berada di Malaysia sebagai usaha untuk mendekati warga Malaysia lain dan menyampaikan kepada mereka pelbagai program yang telah dilancarkan perdana menteri.

Lawatan Najib ke Britain dilakukan hanya sebulan selepas Perdana Menteri Britain David Cameron melawat Malaysia, oleh demikian mencerminkan hubungan rapat dan kaitan sejarah yang kukuh antara kedua-dua negara.

Zakaria berkata kedua-dua perdana menteri telah membina hubungan peribadi yang baik, yang amat perlu untuk membawa hubungan ini ke tahap seterusnya. Najib telah melawat Britain pada Julai tahun lepas.

Najib juga menyaksikan majlis menandatangani dua perjanjian antara Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) dengan dua syarikat komoditi terkemuka untuk membolehkan entiti yang akan disenaraikan itu muncul sebagai sebuah daripada syarikat komoditi terbesar dan disegani dunia.

FGVH memasuki perjanjian usaha sama strategik itu dengan Louis Dreyfus Commodities Asia Pte Ltd (LDCA) dan memorandum persefahaman(MoU) dengan Vitol S.A. mengenai bekalan, perdagangan antarabangsa, pemasaran, operasi logistik dan pengurusan risiko pelbagai komoditi kecuali minyak dan lemak.

Bagaimanapun, lawatan itu bukan hanya mengenai perniagaan kerana Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut menghadiri acara santai yang dipanggil 'Sepetang Bersama Perdana Menteri'.

Ia suatu acara di mana perdana menteri telah menunjukkan sikapnya yang tenang dan sabar walaupun cuba diganggu oleh pengacau yang melaungkan slogan propembangkang semasa beliau mahu memulakan ucapan.

Najib dengan tenang berbicara dengan pengacau itu dan memberitahu mereka supaya berjumpa dengan beliau selepas ucapan.

Audien seramai 1,500 itu, yang menurut pemerhati ialah perhimpunan paling besar warga Malaysia di sesebuah tempat di luar negara, dengan rela melalui kesesakan lalulintas London untuk berjumpa dengan perdana menteri di 02 Arena di Greenwich, Timur London.

Apabila Najib menyifatkan kelakuan pengacau itu sebagai bukan sikap orang Malaysia dan sangat biadap, beliau menerima tepukan gemuruh daripada audien.

Najib mengakhiri lawatannya dengan menghadiri majlis resepsi yang dihoskan Putera Charles sempena penganugerahan Carter Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford, yang mana Malaysia telah memberi sumbangan signifikan dari segi kewangan dan kebendaan.

Semasa menyatakan sumbangan Malaysia kepada pusat itu, Najib berkata negara perlu menonjolkan imej sebenar Islam dan membuktikan kejayaannya sebagai negara Islam yang progresif dan modern, yang turut memelihara hak bukan Islam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan