Saya Jumpa Khir Toyo Secara Kebetulan - Manikavasagam

Diterbitkan: Selasa, 22 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne
Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pada Selasa menegaskan beliau hanya berjumpa secara kebetulan dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo sekali sahaja pada tahun 2008.

"Saya tidak pernah aturkan pertemuan untuk jumpa beliau (Khir Toyo). Saya hanya bertemu secara kebetulan di kafe Hotel Grand Bluewave Shah Alam. Beliau yang datang jumpa saya, perbualan tidak sampai lima minit.

"Masa itu saya temankan pelanggan saya beri keterangan di ibu pejabat polis jenayah komersil Selangor yang terletak di tingkat enam dalam Bangunan Umno Selangor. Hotel Grand Bluewave terletak bersebelahan dengan hotel ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne di sini.

Manikavasagam sekali lagi menegaskan beliau sama sekali tidak akan lompat parti walaupun ada banyak pihak yang cuba membelinya.

"Tolong jangan ganggu saya dan keluarga saya. Saya tak akan lompat parti saya akan tetap bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya akan dedahkan nama-nama mereka sekiranya mereka masih ganggu saya. Bukan calang-calang orang yang datang pujuk saya ada seorang Exco Wanita Perak pun pernah datang pujuk isteri saya untuk pujuk saya supaya lompat parti.

"Saya tak akan dedahkan nama mereka sekarang tapi kalau mereka cabar saya akan dedahkan semua nama mereka," katanya.

Sebelum ini Manikavasagam menafikan bahawa beliau pernah meminta RM10 juta daripada Dr Mohamad Khir Toyo pada 2008 untuk keluar PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas, seperti dakwaan sebuah blog.

Sebaliknya, Manikavasagam mendakwa, beliau yang sebenarnya dipelawa oleh bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) itu secara gurauan pada hujung 2008.

Bagaimanapun Dr Mohamad Khir turut menafikan dakwaan berkenaan.

Mengulas lanjut bekas Timbalan Pengerusi PKR Selangor itu berkata, beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan saman terhadap Khir Toyo.

"Kenapa sekarang baru beliau (Khir Toyo) dedahkan benda ini, sudah empat tahun perkara ini berlaku. Apa motif dia…saya sendiri tidak tahu. Mungkin kerana saya banyak serang dia (Khir Toyo) dalam setiap ceramah saya.

"Kenapa dia tidak laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, atau laporan polis? Kenapa hanya cerita di akhbar sahaja…Kalau benar dia (Khir Toyo) perlu buat laporan. Siapa yang tawar RM5 atau RM10juta kepada saya..siapa?

"Khir Toyo yang datang kepada saya di café hotel bersama dua rakannnya sambil berkata, awak tak suka dalam PKR marilah ikut saya..Saya cuma jawab nantilah….,” katanya.

Beliau juga akan turut membuat laporan polis terhadap penulis M. Zakrul Adam dalam artikelnya MP Kapar Minta RM10 juta Dari Dr Khir Toyo Untuk Keluar PKR yang diterbitkan di laman web, Selangor13.com.

Manikavasagam mendakwa, penulis berkenaan telah memfitnahnya dengan menulis laporan yang tidak benar berhubung dakwaan beliau berjumpa dengan Khir Toyo kali kedua untuk meminta wang untuk lompat parti.

"Banyak fakta yang tidak benar dalam artikel ini, sebagai contoh mana ada saya hanya jumpa dengan Khir Toyo sekali sahaja di Grand Bluewave. Mana ada saya ada masalah dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat), Datuk Teng Chang Khim berhubung isu pasir dan kutipan duit oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua di Bandar Baru Sungai Buloh.

"Semua sumber dan fakta ini memang tidak benar….jadi saya akan buat laporan polis terhadap penulis aritikel ini di Balai Polis Meru esok bersama-sama dengan Ketua Cabang PKR Kapar," katanya.

Sambil menyifatkan tawaran Khir Toyo itu sebagai bahan gurauan, Manikavasagam mendakwa tawaran untuk lompat parti diterimanya daripada pelbagai pihak dan orang berpengaruh di negara ini.

"Ada antara orang tengah mereka ini sanggup duduk berjam-jam di hadapan rumah, pejabat saya. Bukan itu sahaja, ada juga cubaan untuk menculik keluarga saya cuba dibuat namun ia gagal, mereka buat ini untuk paksa saya tinggalkan PKR.

"Saya akan tetap bersama Pakatan, ini sudah jelas. Jangan bazirkan masa anda untuk cuba beli sama. Orang mengundi kita dan kita tidak boleh mengkhianati amanah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne berkata beliau hanya ketawa selepas mendengar tawaran yang diterima oleh Manikavasagam.

Manikavasagan beritahu saya apa yang sebenanrnya berlaku dalam pertemuan tersebut dan di mana ada berlaku.

"Bagi saya ia bukan lagi satu rahsia kerana beliau ceritakannya setiap kali berceramah,” katanya.

Loh turut mengesahkan pernah menerima tawaran untuk melompat parti dan ada agen-agen daripada pihak tertentu memintanya menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Turut serta dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menggesa Manikavasagam membuat laporan polis berbanding membuat sidang media mengenai dakwaan menerima sejumlah wang untuk lompat parti.

"Mereka memang gunakan wang untuk apa sahaja termasuk dalam politik. Kita tidak perlu minta mereka yang akan tawarkan sendiri,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan