Kertas Kabinet Mengenai Akses Media Untuk Parti Politik Siap - Rais

Diterbitkan: Selasa, 22 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah menyediakan kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya mereka kepada orang ramai.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, dokumen itu disediakan berikutan permintaan yang diterima kementerian.

"Tapi perlu ada peringatan. Pendedahan manifesto harus terhad dari segi masa dan mesti mengikut peraturan yang sedia ada di kementerian.

"Ia bukan sesuatu yang bebas untuk semua. Ia harus berasaskan nilai berita setiap kenyataan. Bagi manifesto, kami telah menggariskan asas sama rata bagi semua parti, termasuk Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemikiran perdana menteri di sini Selasa.

Rais berkata, kementerian itu berharap dapat membincangkan perkara ini dengan pelbagai parti "yang merasakan kami patut memperbaiki aspek pembentangan."

"Tetapi sekali lagi saya harus katakan bahawa peraturan di kementerian patut diteliti dan ketertiban tertentu harus diikuti juga," tegas beliau.

"Ini demi demokrasi dan amalan kesaksamaan mengikut undang-undang," katanya.

Akses media yang bebas dan adil ialah antara 22 saranan yang dibuat oleh Jawatakuasa Pilihan Parlimen yang diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selepas mereka meluluskan tanpa bahas di Dewan Rakyat pada 3 April.

Mengenai seminar itu, yang bertemakan 'Ke arah Pemupukan Kesepaduan dalam Kepelbagaian Masyarakat 1Malaysia', Rais berkata, program seumpama itu perlu diperbanyakkan kerana mampu menjelmakan pemahaman yang lebih mudah kepada generasi baru berhubung aspirasi setiap perdana menteri dalam membangunkan negara.

Menjadikan cetusan idea beberapa bekas perdana menteri sebagai contoh, beliau berkata, pandangan atau idea yang dilontarkan mereka perlu dilihat dari konteks dasar yang telah diwujudkan.

Rais memberikan beberapa contoh pemikiran perdana menteri yang berjaya membawa Malaysia ke satu tahap seperti mana yang dinikmati rakyat ketika ini.

"Program mensohorkan pemikiran 'orang nombor satu' di tanah air sememangnya perlu diberi perhatian kerana jika tidak dihebah atau diberi gambaran sebenar, generasi muda tidak akan mudah untuk mengingatinya," katanya.

Rais berkata, pelbagai pendapat daripada seminar itu akan dikumpul untuk didokumen agar intisari pemikiran dan dasar yang dijelmakan oleh keenam-enam perdana menteri Malaysia dapat difahami masyarakat dalam konteks membina negara bangsa.

Antara anggota panel yang terlibat ialah bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Seminar dua hari kelolaan Arkib Negara dengan kerjasama Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia dan Universiti Malaya itu, antara lain bertujuan mengkaji dan menganalisis pemikiran tokoh-tokoh negarawan itu berkaitan dasar dan pendekatan mereka terhadap perpaduan kaum selaras dengan konsep 1Malaysia. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan