Kementerian Luar Bandar Umum Peruntukan Tambahan RM800,000 Untuk Ketengah

Diterbitkan: Isnin, 21 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU TERENGGANU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan peruntukan tambahan RM500,000 untuk membaiki dan menaik taraf jalan raya di semua kampung di kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengadakan program turun padang di Kampung Basung dekat sini, juga turut mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi membaik pulih dan membesarkan masjid di kampung itu.

"Sepanjang saya menjadi 'menteri kampung ini', hampir 15,000 kampung telah saya jelajahi daripada keseluruhan 25,000 kampung yang ada di Malaysia.

"Kerajaan sentiasa memikirkan cara untuk memajukan taraf hidup penduduk di kampung supaya jurang ekonomi antara kampung dan bandar tidak ketara," katanya ketika ditemui Bernama pada program itu Ahad.

Mohd Shafie berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada RM25.41 juta yang diperuntukkan kementeriannya untuk Ketengah sepanjang tahun ini.

Katanya daripada jumlah itu, RM19 juta adalah untuk bekalan air bersih, RM2.4 juta bagi skim skim kesejahteraan rakyat, RM1.9 juta untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin, RM860,000 bagi membina jalan dan sejumlah RM450,000 untuk skim latihan kemahiran.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk Orang Asli yang mendiami kampung di sekitar kawasan ini gembira dengan pelbagai bantuan yang diumumkan kerajaan.

Dollah Pelong, 65, berkata beliau bersyukur dengan pelbagai bantuan yang diterimanya termasuk bantuan rumah dan terbaharu pemberian pam racun.

"Saya ni memang pandai buat kerja-kerja kampung sahaja. Banyak tanaman yang kita hasilkan seperti ubi, pokok getah dan sayur-sayuran.

"Bila dah dapat tong (pam) racun ini, lagi senanglah kita nak buat kerja di kebun Berua di sini," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Berua dekat sini.

Kegembiraannya dikongsi Jantan Salok, 47, yang akan menggunakan pam racun itu untuk mencari pendapatan tambahan di sekitar kampung yang terletak berdekatan Tasik Kenyir itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan