SPR Pastikan Pos Petugas Media Telus - Berita Semasa | mStar

SPR Pastikan Pos Petugas Media Telus

Diterbitkan: Ahad, 20 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memastikan proses undi pos bagi petugas media yang dijangka dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13, dibuat secara telus bagi menghindari tanggapan negatif serta rungutan pelbagai pihak.

Sehubungan itu kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR akan sedaya-upaya untuk tidak membabitkan pihak ketiga di dalam proses berkenaan.

Antara cadangan awal SPR ialah petugas media terbabit datang sendiri mengambil kertas undi di pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya di tempat mereka didaftarkan dan mengundi di situ, katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di sini.

Beliau berkata mereka boleh berbuat demikian sepanjang tempoh berkempen yang telah diputuskan SPR tidak kurang daripada 10 hari.

Walau di mana petugas media ditempatkan majikan masing-masing, mereka masih boleh balik ke kawasan masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab itu kerana tempoh berkempen agak lama, katanya.

Kebenaran mengundi pos bagi petugas media adalah antara 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang dipersetujui SPR untuk dilaksanakan.

Kemudahan untuk mengundi pos itu adalah mengikut subperaturan 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata SPR bagaimanapun bersedia memberi pencualian kepada petugas media yang ditempatkan terlalu jauh dari kawasan mereka didaftarkan seperti Sabah dan Sarawak.

Mengenai proses tersebut, Wan Ahmad berkata petugas media yang layak harus memohon untuk menjadi pengundi pos daripada RO masing-masing terlebih dahulu, dan permohonan perlu disokong majikan masing-masing.

"Borang itu nanti boleh dimuat turun daripada laman web rasmi SPR sebaik pengumuman mengenainya dibuat SPR, termasuk tarikh akhir penghantaran borang," katanya sambil menegaskan tidak semua petugas media layak untuk mendapat status pengundi pos.

Antara yang perlu dilengkapkan ialah alamat di mana mereka didaftarkan sebagai pemilih dan tempat mereka ditugaskan ketika pilihan raya.

"Apabila permohonan sebagai pengundi pos telah diluluskan maka nama petugas media sebagai pengundi biasa akan dipotong," katanya.

Beliau juga meminta majikan memuktamadkan kawasan petugas mereka ditempatkan kerana sebarang perubahan pada saat akhir tidak akan dilayan SPR sebaik sahaja permohonan pengundi pos diluluskan.

Ditanya mengenai rasional petugas media masih perlu kembali ke kawasan mengundi masing-masing untuk membuang undi, Wan Ahmad berkata SPR tidak mahu ada pihak mempolitikkan perkara itu jika kertas undi dihantar ke kawasan petugas media ditempatkan.

SPR tidak mahu kelak ada dakwaaan kertas undi hilang jika perkara itu dilaksana kerana amalan SPR ialah menghantar terus kertas undi ke pejabat RO di kawasan pengundi didaftarkan.

Jika mahu perkara tersebut dilaksana, pejabat RO terbabit perlu menghantar kertas undi berkenaan ke pejabat RO di mana petugas media itu ditempatkan, dan ini membuka ruang kepada spekulasi serta pelbagai tuduhan liar kepada SPR, katanya.

Bagaimanapun kata Wan Ahmad semua itu masih di peringkat cadangan, dan SPR bersedia menerima maklum balas bagi memastikan pelaksanaan undi pos bagi petugas media berjalan lancar serta memudahkan semua pihak. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan