Polis Masih Buru 113 Individu Dipercayai Terlibat Dalam Kekecohan Bersih 3.0

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis masih memburu 113 lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata daripada 141 individu yang gambarnya disiarkan media, seramai 28 orang telah ditahan dan menyerah diri.

Katanya sejak polis melancar operasi menahan secara besar-besaran pada Rabu lepas, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kekecohan pada perhimpunan itu telah ditahan, masing-masing di Kulai, Johor dan di Kemaman, Terengganu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sukan rakyat Polis Bersama Masyarakat sempena sambutan Hari Polis ke-205, di Kerinchi, di sini, Sabtu.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka mempunyai kaitan dengan parti politik," kata Mohmad, dan enggan mendedahkan lebih lanjut. Setakat ini, katanya dua anggota polis dan tiga orang awam didakwa di mahkamah di sini berhubung perhimpunan itu.

Semalam, dua anggota polis, Lans Koperal Mohd Khairul Asri Mohd Sobri, 30, dan Konstabel Shahrul Niza Abd Jalil, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap jurugambar Guang Ming Daily, Wong Onn King, 33, di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja antara pukul 5.20 petang dan 5.30 petang semasa perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lepas.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata lima anggota polis berpangkat konstabel, berusia antara 20 dan 22 tahun, dari Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, cedera setelah kereta persendirian milik salah seorang daripada mereka merempuh pagar simen kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya, pada 4 pagi Sabtu.

Mohamad berkata kesemua mereka tidak bertugas ketika kejadian.

Empat daripada mereka dirawat di Hospital Putrajaya akibat kecederaan di badan dan dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang.

"Kita masih menyiasat punca kemalangan dan kenapa mereka boleh berada di sana," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan