Malaysia Catat Jumlah Tertinggi Ketibaan Pelancong Tahun Lepas

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Industri pelancongan negara mencatat jumlah tertinggi ketibaan pelancong tahun lepas apabila menerima kunjungan 24.6 juta pelancong, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata ini akan menyemarakkan lagi pelbagai usaha bagi menggalakkan kehadiran berterusan pelancong ke negara ini.

"Kepelbagaian produk pelancongan negara seperti keindahan alam semula jadi serta keunikan penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum akan terus menarik kehadiran pelancong," katanya ketika merasmikan Pelancaran Citrawarna 1Malaysia 2012 malam ini, yang menyaksikan 7,000 peserta mengambil bahagian dalam acara perarakan.

Ng berkata penganjuran acara seperti Citrawarna turut menjadi faktor tarikan kepada kedatangan pelancong ke negara ini, selain mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian yang kaya dengan warisan sejarah dan kepelbagaian budaya.

Citrawarna 1Malaysia edisi ke-14, yang bertemakan 'Perarakan Pelancongan Terhebat', dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Antara acara yang berlangsung ialah perarakan kereta berhias, persembahan kumpulan pancaragam dan kumpulan kesenian serta prop menggambarkan segmen pelancongan di Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan