Hudud: PAS Hanya Main Sandiwara Untuk Raih Sokongan Umat Islam

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan hukum hudud yang terus dijanjikan PAS, bagi banyak pemerhati politik, kali ini hanya sandiwara untuk meraih sokongan orang Islam di negara ini, khususnya pengundi Melayu pada pilihan raya umum ke-13.

Meskipun umum mengetahui bahawa impian itu ditentang hebat rakan pakatan pembangkang iaitu DAP, namun tentangan itu dilihat untuk membolehkan sokongan pengundi bukan Islam kekal bersama DAP.

Apakah PAS benar-benar memperjuang hukum Hudud dan Islam sebagai Addin atau cara hidup? Dan jika benar ia adalah matlamat PAS, mengapa hukum Hudud tidak dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu yang pernah diperintah PAS pada 2004?

Kalangan pemerhati politik juga melihat bahawa PAS seperti cuba berdolak-dalik untuk melaksanakan Hudud di negeri yang dikuasai mereka dengan memberi contoh di Kelantan yang diperintah PAS selama lebih 20 tahun.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 15 Dis lepas dilapor sebagai berkata jika benar perlembagaan PAS itu Al-Quran, kenapa pula hendak salahkan Perlembagaan Malaysia kerana mereka sepatutnya boleh melakukannya di Kelantan dan Kedah?. Kerajaan PAS Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II yang melibatkan hukum Hudud, pada persidangan Dewan Undangan Negeri 1993 dan mendapat sokongan semua anggota, tetapi ia masih tidak dilaksanakan.

Setiap kali dipersoal oleh rakyat mengenainya, PAS hanya memberi alasan kerajaan persekutuan yang tidak membenarkan ia dilaksanakan.

Alasan itu adalah bukti bahawa sememangnya PAS tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan apa yang dijanjikan mereka dan isu seperti itu timbul dan dihangatkan hanya sebagai modal untuk meraih sokongan.

Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata PAS perlu melupakan hasrat untuk mewujudkan negara Islam dan melaksanakan Hudud jika masih tetap bersama dalam pakatan pembangkang.

"Rakan pakatannya tidak pernah ikhlas dan hanya mahukan kuasa. Kalaulah mendapat kuasa nanti, PAS akan ditendangnya. Hudud PAS hanya akan tinggal angan-angan," katanya kepada Bernama di sini. Justeru beliau sedih apabila PAS turut terpengaruh dan terheret bersama mereka yang menentang Islam.

Persoalan juga timbul, apakah PAS begitu yakin akan dapat menerajui kerajaan jika pakatan pembangkang memerintah dan bagaimanakah hendak PAS laksanakan hukum hudud dan negara Islam yang terus mendapat tentangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

Adalah menghairankan apabila janji itu dibangkitkan semula oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 9 Mei lepas hanya untuk menyifatkan bahawa hukum Hudud bukanlah sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Janji PAS itu sudah nyata bercanggah dengan pendirian dan kata sepakat Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang pada 28 Sept tahun lepas yang berikrar bahawa pakatan itu tidak akan melaksanakan hukum Hudud seperti yang dicadangkan PAS kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Lantaran itu, apabila PAS berulang kali melaungkan janji hukum Hudud, pemerhati politik berpendapat bahawa rakyat sudah jemu mendengar siulan politik itu yang hanya untuk menyedapkan halwa telinga tanpa ada sebarang asas untuk menjadikannya kenyataan.

Rakyat pun sudah banyak mempertikai kemampuan PAS, malah ada yang merasa pelik melihat PAS terus-menerus mendendangkan lagu lama.

Mereka berpendapat PAS terpaksa melakukannya kerana sudah ketiadaan modal politik lain, sudah ketiadaan isu baru untuk menunjukkan dirinya masih gah dan dihargai dalam pakatan tiga buah parti itu. Kata mereka, yang terus-menerus terkeliru hanyalah para penyokong PAS sendiri.

Mohd Ridhuan berkata rakyat melihat dengan jelas bahawa PAS sudah cukup jauh disisihkan di negeri Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah oleh pakatan pembangkang.

"Inikan pulak apabila berjaya membentuk kerajaan pusat," katanya.

Pemerhati juga bertanya, pernahkah mana-mana anggota Parlimen PAS mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hukum Hudud dilaksanakan dan supaya tidak lagi bercanggah dengan janji mereka?

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee pada 30 Sept lepas dipetik sebagai berkata hukum Hudud, jika dilaksanakan di Malaysia, hanya untuk orang Islam dan tidak untuk orang bukan Islam, menunjukkan ia bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, seorang Islam juga akan terdedah kepada dua bentuk pendakwaan atau sabitan kesalahan berbeza - satu di bawah Hudud dan satu lagi di bawah Kanun Keseksaan, bercanggah dengan Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Bekas naib presiden PAS Datuk Dr Hasan Ali pada 9 Feb lepas dilapor berkata tarikan ke Putrajaya itu sangat kuat menyebabkan PAS terus digula-gulakan dan dikipas oleh pemimpin parti pembangkang.

Banyak pemimpin PAS sekarang rela memejamkan sebelah mata walaupun mereka mungkin sedar PAS sedang diperalat oleh rakan pakatan pembangkang untuk mencapai cita-cita ke Putrajaya.

Pada 8 Dis lepas, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pula dilapor berkata bahawa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 yang dilulus semasa pentadbiran kerajaan PAS di Terengganu, bercanggah dengan Islam.

Pada 2 Okt tahun lepas, Pengerusi DAP Karpal Singh dilaporkan berkata bahawa parti itu tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum Hudud walaupun jika parti pembangkang mendapat majoriti dua pertiga pada PRU ke-13. Katanya pelaksanaan Hudud akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan sokongan terhadap pakatan pembangkang memandangkan bukan semua rakyat bersetuju dengan hukum berkenaan.

Mengulas dakwaan PAS ia tidak dapat melaksanakan hukum Hudud di Kelantan dan Kedah yang mereka terajui kerana dihalang oleh kerajaan persekutuan, Pensyarah Sains Politik di UiTM Dungun, Terengganu, Che Hamdan Mohamed Razali berpendapat ia tidak boleh lagi dijadikan alasan tanpa PAS sendiri mencuba meminda perlembagaan.

"Kalau sekejap keluar kenyataan nak buat Hudud, selepas itu tarik balik pula, saya nampak seolah-olah PAS cuba main-main. PAS mungkin lebih takut kepada rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Che Hamdan juga sependapat dengan Ridhuan bahawa PAS perlu meninggalkan pakatan pembangkang jika berada di dalam gabungan itu akan menggadaikan prinsip perjuangan parti itu, yang kononnya untuk menegakkan Islam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain tidak menafikan bahawa isu itu dimainkan PAS untuk meraih sokongan orang Islam dan Melayu.

"Ketiga-tiga parti ini sentiasa bermain sandiwara antara satu sama lain. PAS memerlukan kedua-dua parti itu untuk membolehkan ia bersama-sama bermimpi menguasai pemerintahan negara seandainya mereka menang dalam pilihan raya akan datang.

"Bagaimanapun, saya yakin rakyat telah pun faham muslihat politik yang ditonjolkan PAS. Kalau PAS benar-benar hendak laksanakan hukum hudud, pastinya DAP akan keluar daripada gabungan itu," katanya.

Pemerhati politik berpendapat bukan sahaja PAS tidak akan dapat melaksanakan hukum Hudud, malah mungkin ia akan kehilangan banyak kerusi untuk ditandingi dalam PRU 13, jika ia terpaksa terus tunduk kepada pelbagai tuntutan rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang.

Tanpa formula pembahagian kerusi yang jelas, pemerhati meramalkan PAS, PKR dan DAP akan bertelagah sesama sendiri berebut kerusi kerana masing-masing mahu lebih banyak kerusi untuk ditandingi supaya dapat mengetuai kerajaan yang mereka mimpikan kelak.

Apakah PAS akan menghadapi nasib sama seperti Mat Jenin, menang sorak kampung tergadai atau lebih parah lagi, kalah sorak dan kampung pun digadai? -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan