PM Akan Lancar MJIIT Jun Nanti

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shigeru Nakamura
Shigeru Nakamura

KUALA LUMPUR: Selepas tergendala selama lebih sedekad lamanya, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) yang akan beroperasi dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia di Kampus Antarabangsanya di Jalan Semarak di sini, secara rasmi akan membuka pintunya Jun ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengisytiharkan pembukaan MJIIT pada 1 Jun dan Perdana Menteri boleh berbangga kerana ia adalah hasil daya usaha beliau semasa mengadakan lawatan rasmi ke Tokyo pada tahun 2010 yang membuahkan hasil kepada penubuhan institut ini.

Walaupun Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda tidak dapat bersama-sama melancarkan institut ini disebabkan komitmen lain, Jepun maklum akan perkara ini dengan menghantar wakil rasmi sebagai menghormati Najib.

Adalah difahamkan, wakil Jepun itu berkemungkinan besar bekas Perdana Menterinya, Dr Yukio Hatoyama, iaitu orang yang terlibat membincangkan semula penubuhan MJIIT dengan Najib dua tahun lalu atau mungkin juga seorang lagi bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi, yang mana Tun Dr Mahathir Mohamad telah berbincang dengannya untuk melancarkan projek ini pada tahun 2001.

"Saya berharap MJIIT akan menjadi bukan sahaja salah satu jambatan baru kerjasama dua hala kita, tetapi satu contoh pusat kecemerlangan yang akan menyumbang kepada pembangunan modal insan Malaysia," kata Duta Besar Jepun ke Malaysia Shigeru Nakamura.

MJIIT sebelum ini dilihat seolah-olah tergantung pembiayaannya dan tertangguh selama hampir 11 tahun.

Lawatan Najib ke ibu negara Jepun bagaimanapun telah menyemarakkan semula keyakinan dalam melaksanakan projek yang bertujuan untuk memperkenalkan gaya dan konsep pendidikan Jepun di sini.

Institut ini telah dibiayai dengan pinjaman yen sehingga RM248 juta dan mempunyai pengambilan pertama seramai 96 orang pelajar September lalu.

Nakamura berkata, kelebihan MJIIT ialah ia menggabungkan sistem pendidikan kejuruteraan Jepun untuk membolehkan pelajar-pelajar Malaysia belajar "seperti orang Jepun di sebuah universiti Jepun", sambil menambah institut itu sudah pun mempunyai enam profesor dari Jepun.

"Kita merancang meningkatkan tenaga pengajar kepada 40 orang menjelang 2015. Sebuah konsortium dari 24 universiti Jepun akan membantu untuk membangunkan kurikulum yang lebih bersepadu," katanya.

Setakat ini empat kursus telah ditawarkan untuk pelajar Malaysia di MJIIT.

Bekas Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie telah dilantik sebagai Duta Kehormat MJIIT.

"Saya akan membuat lawatan kepada MJIIT bagi tujuan penyelarasan dan ini merupakan peluang yang sangat baik untuk bekerjasama dengan Malaysia sekali lagi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan