Tun Dr Mahathir Terima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif

Diterbitkan: Khamis, 17 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP), Khamis, menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas sumbangan dan usaha berterusan beliau dalam membangunkan industri automotif negara.

Penganugerahan itu disempurnakan Canselor UMP Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada majlis Konvokesyen Khas UMP di sini. Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Tengku Abdullah bertitah Dr Mahathir berjaya memajukan industri automotif nasional dan menempatkan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing tinggi di pentas global.

"Kini selepas 29 tahun, Malaysia berbangga kerana dapat memanfaatkan kepakaran tenaga tempatan bagi memajukan industri automotif nasional dari peringkat reka bentuk hinggalah pembangunan enjin.

"Pengurniaan Ijazah Kehormat ini akan menginspirasikan lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan anak watan Malaysia," titah baginda.

Tengku Abdullah menyarankan agar UMP terus memberi tumpuan memastikan pembangunan universiti itu melalui aktiviti penyelidikan, perundingan, penyebaran ilmu pengetahuan dan pembangunan modal insan.

Tun Dr Mahathir ketika berucap berkata, warga sebuah negara merdeka hendaklah membangunkan keupayaan ekonomi dalam acuan kemerdekaan tanpa perlu mengkompromi kedaulatan tanah air dalam apa jua bentuk, secara sedar atau sebaliknya.

Beliau berkata industri automotif yang dibangunkan itu juga turut berpaksikan kesedaran patriotik bahawa anak watan perlu belajar mempercayai dan menghargai jenama nasional.

"Kemajuan sains dan teknologi yang dicapai oleh orang lain juga boleh di miliki negara kita sekiranya kita berani belajar dan mencuba serta sanggup bersusah payah mengusahakannya dengan cara kita sendiri.

"Industri automotif nasional yang dibangunkan ini tidak semata-mata menghasratkan Malaysia sebagai peneraju pemasangan kenderaan sahaja, sebaliknya menguasai semua aspek industri tersebut yang meliputi reka bentuk, pembuatan komponen, kejuruteraan sehinggalah pembangunan enjin," katanya.

Beliau berkata hanya melalui penguasaan kesemua aspek itu, maka misi industri automotif nasional dapat disempurnakan.

Pada masa yang sama, kata Dr Mahathir, nilai patriotisme dalam industri ini turut berkait dengan kemampuan negara ini untuk mengeluarkan tenaga pakar dan mahir untuk mengekalkan kemapanan industri automotifnya, tanpa terlalu bergantung kepada sumber luar.

"Institusi pengajian tinggi tempatan turut berperanan dalam menawarkan program-program akademik yang dapat membangunkan industri ini.

Penggunaan tenaga tempatan dalam industri automotif nasional secara tidak langsung mengekalkan integriti jenamanya tanpa perlu terikat kepada campur tangan asing," katanya.

Dr Mahathir berkata UMP turut berperanan aktif membangunkan kejuruteraan automotif sebagai antara bidang kebitaraan universiti itu.

"Sebagai contoh, kerjasama yang dijalinkan antara UMP dengan rakan strategiknya dari negara Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Sciences dalam penawaran ijazah berkembar bidang kejuruteraan automotif mampu mencorak industri automotif nasional dengan signifikan dengan penglibatan lebih ramai tenaga pakar tempatan.

"Inilah yang dibuktikan melalui pembangunan industri automotif nasional yang bermula dengan Proton Saga tahun 1983," katanya.

Sementara itu Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir berkata penganugerahan ijazah kehormat kepada Dr Mahathir lebih bermakna ketika universiti itu menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya.

"Keyakinan pihak luar terhadap perkembangan industri automotif Malaysia yang berada di atas landasan yang kukuh pada hari ini turut memudah cara kerjasama UMP dengan universiti terkemuka di Jerman untuk mewujudkan kerjasama seperti program dwi-ijazah dalam bidang automotif," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan