Muhyiddin Gesa Usahawan Bumiputera Guna Perbankan Islam Lebih Kerap

Diterbitkan: Khamis, 17 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Para usahawan Bumiputera seharusnya perlu mempertimbangkan dengan sewajarnya untuk menggunakan sistem perbankan Islam dengan lebih kerap di dalam perniagaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Katanya produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi kewangan di negara ini adalah berlandaskan hukum syarak.

"Dan adalah terbukti bahawa negara kita kini mempunyai sistem kewangan Islam yang lengkap, merangkumi takaful dan perniagaan saham dalam Bursa Malaysia."

"Selain itu, kita juga mempunyai Pasaran Kewangan Antarabangsa di Labuan yang memainkan peranan penting dalam perkembangan pasaran wang antarabangsa, " katanya semasa berucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia.

Skim Pembiayaan PKS Patuh Shariah telah diumumkan baru-baru ini dengan dana berjumlah RM2 bilion dalam bentuk rebat 2.0 peratus bagi permohonan perbiayaan berjumlah sehingga RM5 juta yang diluluskan sehingga 2013.

Muhyiddin juga berkata kaum Bumiputera harus berusaha berhijrah yang lebih besar, iaitu kepada yang berteknologi tinggi berasaskan inovasi dan kreativiti.

"Skala ekonomi sebegini mempunyai nilai tambah dan berkeupayaan menjana pendapatan tinggi berasaskan sektor-sektor baru," katanya.

Pengetahuan teknologi terkini ditambah dengan inovasi boleh menjana ekonomi kaum Bumiputera dengan lebih tinggi lagi manakala idea-idea segar dan kepakaran baru dari golongan usahawan muda juga perlu dioptimumkan, katanya.

"Oleh itu, usahawan Bumiputera perlu lebih berani meneroka bidang-bidang baharu dalam sektor bernilai tinggi yang belum dikuasai oleh sesiapa, termasuk dalam pasaran baru dan tidak bergantung kepada pasaran domestik semata-mata," katanya.

Setakat ini, Muhyiddin berkata kerajaan telah menyediakan peluang perniagaan yang bernilai RM11 bilion untuk dimanfaatkan oleh kaum Bumiputera melalui inisiatif-inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera bersama agensi-agensi Kerajaan dan swasta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan