Majlis Peguam Perlu Jauhi Polemik Politik

Diterbitkan: Rabu, 16 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam perlu mengelakkan diri daripada diheret ke dalam kancah polemik politik yang berbeza fahaman.

Seorang peguam kanan Datuk Sukri Mohamed berkata Majlis Peguam seharusnya dilihat tidak mempunyai kecenderungan politik atau dikaitkan dengan mana-mana parti politik.

"Majlis Peguam merupakan sebuah badan yang diwujudkan oleh statut untuk peguam. Pendek kata, ia ditubuhkan untuk membantu peguam... Majlis Peguam perlu membantu anggotanya," katanya ketika diminta mengulas persepsi negatif terhadap badan itu, yang didakwa menjadi alat pembangkang selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Jumaat lepas.

Pada mesyuarat itu, satu resolusi yang mengutuk kekerasan polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 bulan lepas diluluskan. Beberapa peguam turut meminta sebuah organisasi baru diwujudkan bagi menjaga profesion, kebajikan dan kepentingan perundangan mereka.

Bekas pengerusi Majlis Peguam Kelantan itu berkata badan tersebut bukan sekadar perlu bebas malah harus dilihat sebagai bebas bagi memastikan rakyat terus yakin terhadapnya.

"Sememangnya kami memperjuangkan keadilan dan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih... Justeru, kami memerlukan kebebasan...," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata cadangan penubuhan akademi undang-undang, satu organisasi alternatif bagi mewakili kepentingan profesion undang-undang, mungkin baik dalam sesetengah perkara, namun akan mewujudkan lebih banyak masalah yang tidak diduga dalam situasi sekarang.

"Mereka perlu menentukan keutamaan dan dalam hal ini, peguam mesti diutamakan, dan bukannya agenda politik," katanya.

Sependapat dengan Shukri, seorang lagi peguam kanan iaitu Datuk Mohd Hafarizam Harun tidak bersetuju dengan idea penubuhan akademi itu kerana ia lebih kepada melatih peguam dari segi advokasi dan pengetahuan undang-undang.

Mohd Hafarizam berkata di Malaysia, seorang peguam perlu mendaftar dengan Majlis Peguam kerana hanya badan itu diberi kuasa di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 bagi menetapkan piawaian dan mengeluarkan Sijil Amalan kepada peguam.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan mesti dilakukan di kalangan anggota Majlis Peguam atau pemegang jawatan agar mereka dilihat tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Bekas Presiden Majlis Peguam K.Ragunath pula berpendapat badan itu tidak menyokong mana-mana pihak.

"Ada orang akan berkata Majlis Peguam pro-Pakatan, ada juga yang berkata ia menetapkan peraturan undang-undang. Saya berpendapat jika terdapat isu berkaitan peraturan undang-undang, saya tidak fikir Majlis Peguam menyebelahi mana-mana pihak," katanya.

Mengulas penubuhan akademi yang dicadangkan, beliau berkata ia bukan satu idea yang bernas kerana struktur Majlis Peguam berbeza daripada akademi undang-undang.

"Kita tidak perlu mewujudkan satu badan alternatif hanya kerana kita berbeza pendapat dengan pendirian Majlis Peguam. Kita adalah masyarakat demokratik, jadi ada tempat untuk semua orang, tidak kira sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan kerajaan, dan ini merupakan kelebihan sebuah masyarakat yang demokratik," katanya.

Dalam nada yang sama, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata badan itu menentang cadangan penubuhan akademi undang-undang yang didakwa selalu ditimbulkan apabila kerajaan berasa terancam dengan satu majlis peguam yang bebas.

Beliau menegaskan di bawah Akta Profesion Perundangan, hanya Majlis Peguam diberi kuasa menetapkan piawaian bagi profesyen undang-undang, mengeluarkan Sijil Amalan dan mengawal selia anggota badan itu.

"Kewujudan institusi alternatif yang diberi kuasa mengawal tertib profesion perundangan sudah tentu akan mengambil alih fungsi dan kuasa Majlis Peguam di bawah akta berkenaan, selain mengabaikan kuasa serta tanggungjawabnya untuk mengawal selia hal-ehwal badan itu, dan ia akan menjadi serangan keterlauan terhadap kebebasan Majlis Peguam Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan