Saya Tiada Kuasa Minta Pemegang Konsesi Air Selangor Agar Bersetuju - Peter Chin

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata beliau tiada kuasa untuk meminta agar pemegang konsesi air di Selangor untuk bersetuju terhadap cadangan rancangan penyusunan semula industri air oleh kerajaan negeri. "Sebagai seorang menteri, saya hanya boleh menggunakan kuasa saya mengambilalih bekalan air daripada pemegang konsesi sekiranya berlaku kecemasan, contoh, sekiranya terdapat kekurangan air yang kritikal," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Ujian Kecekapan Tenaga Sirim QAS International Sdn Bhd di Section 16 di sini, Selasa.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini berkata beliau berharap yang Chin akan menggunakan kuasa menterinya di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memastikan pemegang konsesi air untuk bersetuju dengan rancangan penstrukturan semula industri air kerajaan.

Ditanya mengenai laporan portal media hari ini yang Khalid akan membawa Chin ke mahkamah kerana enggan menggunakan kuasanya bagi memecah kebuntuan dalam perundingan rancangan penyusunan semula air, beliau berkata, "Terpulanglah kepada dia."

Chin berkata jika kerajaan negeri mahu mengambilalih bekalan air daripada pemegang konsesi, ia seharusnya menerusi perundingan di bawah pendekatan "persetujuan bersama". "Jika kerajaan negeri mahu mengambilalih syarikat bekalan air, mereka seharusnya sanggup menjual kepentingan mereka kerana perjanjian konsesi masih lagi sah secara perundangan sehinggalah perjanjian tamat," kata beliau.

Chin berkata kerajaan negeri boleh membawa syarikat-syarikat air ke mahkamah jika ia mahu menamatkan perjanjian konsesi disebabkan oleh sebarang perbuatan salah atau mengingkari kontrak. "Inilah pendapat saya. Saya tidak fikir yang mahkamah akan memaksa saya menamatkan konsesi atau mengambilalih bekalan air daripada pemegang konsesi," kata beliau.

Syarikat-syarikat pemegang konsesi itu ialah Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass). Mengenai laporan berikutan dijangkakan kekurangan air di Selangor, 129 projek pelaburan telah ditangguh, Chin berkata sebelum ini, Syabas enggan memberi jaminan kepada cadangan pelaburan yang bekalan air mencukupi sebaik sahaja projek ataupun kilang telah siap.

Sebelum ini, diramalkan yang Lembah Klang akan berhadapan dengan kekurangan air menjelang 2014 tetapi dengan dua projek tebatan bernilai RM606 juta yang sedang dilaksanakan dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi, masalah kekurangan air mungkin tertunda ke tahun 2017, katanya.

Beliau berkata projek-projek itu ialah untuk menggantikan paip-paip lama bagi mengurangkan pendapatan bukan air, menambahbaik pam air di Sungai Bernam, meningkatkan kapasiti pengagihan semula loji rawatan air Sungai Selangor fasa dua dan tiga.

Menteri berkata air dari Sungai Labu di Negeri Sembilan juga akan disalur semula untuk meningkatkan bekalan air di Lembah Klang. "Dengan berbuat demikian, kami menolak tarikh akhir ke tempoh yang kami rasakan air boleh mencukupi sehingga 2017. Saya kini sarankan Syabas untuk memberikan kelulusan kepada lebih 100 projek yang disebutkan itu.

"Maksudnya, pemohon bekalan air boleh dimaklumkan mengenai kelulusan projek masing-masing. Air akan cukup sekiranya projek-projek ini siap dengan kerjasama kerajaan Selangor," tambah beliau. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan