Petisyen 'Jangan Pukul Wartawan' Diserah Ke Pejabat PM

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sekumpulan pengamal media yang dikenali sebagai 'Committee of Concern Journalists' menyerahkan petisyen bertajuk 'Don't Beat Up Journalist' (Jangan Pukul Wartawan) kepada pejabat Perdana Menteri pada Selasa, susulan dakwaan keganasan polis terhadap petugas media ketika perhimpunan di ibu kota pada 28 April lepas.

Kumpulan itu yang diwakili antaranya petugas dari portal berita Malaysiakini dan Malaysian Insider serta akhbar The Malay Mail, The Star dan Sin Chew Jit Poh menyerahkan petisyen itu kepada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Umi Hani Sharani di bangunan Perdana Putra di sini.

Tiada wakil media arus perdana berbahasa Melayu menyertai kumpulan itu, yang mendakwa berjaya mengumpulkan 500 tandatangan petugas media dan 4,000 tandatangan orang awam menerusi dalam talian dan di atas kertas.

Ketika ditemui pemberita, wakil mereka Robind Rudra yang juga bekas petugas akhbar New Straits Times, berkata petisyen setebal 22 muka surat itu memohon pembelaan sewajarnya untuk mereka yang terlibat.

Kumpulan ini juga memohon agar siasatan segera dijalankan oleh jawatankuasa bebas dan mereka yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan, katanya.

Beliau juga berkata kumpulan itu berharap kerajaan persekutuan akan memberi perhatian sewajarnya terhadap tuntutan mereka termasuk permohonan maaf secara terbuka oleh yang terlibat selain ganti rugi bagi peralatan yang rosak dan kecederaan yang dialami. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan