Pakatan Rakyat Di Kedah Berpecah?

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Boleh dikatakan DAP dan PKR akan menghadapi kesukaran pada pilihan raya akan datang di Kedah yang dipimpin PAS kerana kebanyakan sokongan mereka datang daripada bukan Melayu.

Beberapa isu masih lagi tidak selesai yang menimbulkan rasa kurang senang penduduk bukan Melayu seperti rumah penyembelihan yang dirobohkan, dasar perumahan negeri dan enakmen Mufti dan Fatwa.

Ketidakpuasan ini boleh dianggap bermula sejak 2009 lagi selepas kerajaan negeri merobohkankan satu-satunya rumah penyembelihan di Alor Setar yang digunakan penternak babi.

Isu itu begitu panas sehinggakan anggota tunggal DAP di dewan undangan negeri Kedah Lee Guan Aik hampir menarik diri daripada pakatan PAS-PKR-DAP.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah berjanji untuk membina rumah penyembelihan baharu tetapi masih belum dilaksanakan kerana mendapat tentangan penduduk kampung sekitar kawasan baharu yang dicadangkan. Ketidakpuasan terhadap dasar perumahan negeri, adalah lebih kepada kuota yang ditetapkan untuk Bumiputera.

Lebih daripada 90 peratus tanah di Alor Setar diwartakan sebagai tanah simpanan Melayu. di bawah kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Para pemaju yang membina rumah di tanah simpanan Melayu diperlukan memperuntuk 50 peratus daripada rumah itu kepada pembeli Bumiputera.

Tujuannya ialah untuk mengekalkan hak milik hartanah Melayu di negeri itu.

Di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS, kuota perumahan Bumiputera dinaikkan kepada 70 peratus, menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah pemaju.

Bukan itu sahaja, kuota Bumpiputera bagi hartanah komersil juga dinaikkan dari 30 peratus kepada 50 peratus.

Pengerusi Gerakan Kedah Dr Cheah Soon Hai menarik perhatian bahawa ramai bukan Melayu telah menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) yang diluluskan pada 17 April untuk menggantikan enakmen Mufti and Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10).

"Undang-undang baharu ini tidak menunjukkan demokrasi dalam pakatan pembangkang memandangkan ia menghalang fatwa yang dikeluarkan seseorang mufti atau jawatankuasa fatwa sama ada digubal atau tidak, untuk dicabar, dirayu dikaji semula atau dipersoal di mana-mana mahkamah sivil atau syariah," katanya. Bukan Islam bimbang yang Kedah menuju ke arah 'sebuah negeri Islam' kerana negeri itu telah pun cuba melaksanakan beberapa perintah menggunakan Kelantan sebagai model, katanya.

Perkembangan ini antara lain telah menyebabkan DAP dan PKR negeri dikatakan menjadi serba salah.

Peletakan jawatan anggota dewan undangan negeri PKR Tan Wei Shu pada April 2010 yang mendakwa beberapa pemimpin dalam parti menggunakan beliau untuk kepentingan peribadi, juga tidak membantu.

Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew berkata hampir 70 peratus daripada penduduk negeri itu ialah Melayu dan oleh itu dengan PAS menguasai negeri, ia bermakna mereka berkuasa untuk memperbanyak dasar-dasar Islam.

"Pengalaman lalu juga menunjukkan tiada apa yang boleh dilakukan oleh ahli politik DAP dan PKR, sedangkan perasaan tidak puas hati ini semakin memuncak. "DAP tidak mempunyai banyak penyokong dan tidak boleh terlalu mendesak dengan pendapatnya. Apabila kerajaan negeri mahu membawa negeri itu menuju ke jalan Islam, tiada apa yang boleh dilakukan DAP atau PKR ," katanya semasa dihubungi Bernama.

Komen terbaru para pemimpin PAS mengenai undang-undang Hudud dan agenda negeri Islam telah menghangatkan lagi perdebatan antara mereka dengan para pemimpin DAP, terutama pengerusinya Karpal Singh, dan dilihat menambah risiko politik yang serius yang perlu ditangani pakatan pembangkang.

Memburukkan lagi keadaan ialah para pemimpin PAS dilaporkan berkata mereka malahan sanggup mengadakan pakatan dengan parti lain yang menyokong sebuah negeri Islam jika PKR dan DAP enggan berbuat demikian. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan