Eksesais Sempadan Malaysia-Thailand Kedua Akan Libatkan Imigresen, Polis & Kastam

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Eksesais sempadan kali kedua Angkatan Tentera Malaysia dan Thailand yang dijadual pada 2014 akan melibatkan imigresen, polis dan kastam kedua-dua negara.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkefli Mohd Zin berkata langkah itu bagi memastikan latihan yang dijalankan lebih komprehensif dan berintegrasi, berbanding sebelum ini hanya membabitkan pasukan tentera kedua-dua negara.

"Sekali gus ini akan meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara agensi dari kedua-dua negara," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Malaysia-Thailand ke-28, di sini, Selasa.

Mesyuarat selama sejam itu turut dihadiri rakan sejawatan Zulkefli dari Thailand Jen Thanasak Patimapragorn.

Selain itu, Zulkefli berkata kedua-dua belah pihak juga bersetuju untuk memperluaskan latihan tersebut kepada pasukan tentera negara anggota Asean.

Bagaimanapun bila perkara ini akan dilaksanakan belum diputuskan, katanya menambah mesyuarat turut membincangkan keperluan mewujudkan platform untuk menyelesaikan isu bersama ke arah melahirkan keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan di kedua-dua negara. "Mesyuarat hari ini turut membincangkan kemajuan aktiviti yang dilaksana HLC dan Jawatankuasa Sempadan Serantau, dan berpuas hati dengan pencapaian setakat ini," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan