Pekema Rayu Bank Negara Longgarkan Syarat Baru Pinjaman Sewa Beli Kereta

Diterbitkan: Isnin, 14 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) merayu kerajaan Persekutuan, terutama Bank Negara Maqlaysia (BNM) supaya melonggarkan sedikit syarat baharu pinjaman sewa beli kereta yang menurut mereka telah menjejaskan jualan kereta import dan kereta yang dipasang di negara ini.

Presiden Pekema Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata pelonggaran syarat itu penting bagi memastikan industri automatif negara terus berkembang.

"Kita jangka industri automatif lembab tahun ini kerana dasar sekatan pinjaman yang begitu ketat oleh BNM. Kita juga jangka pasaran kereta (import) akan menurun sekitar 30 peratus untuk tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Pekema Sabah dan Sumbangan Amal Yayasan Pekema di sini malam Ahad.

Mengikut statistik jumlah kereta yang diimport tahun lepas mencecah angka 610,000 manakala jumlah kereta import yang tidak dapat dijual ialah sekitar 15,000, katanya.

Tahun ini, Zainuddin berkata Pekema menyasarkan jumlah kereta yang diimport sebanyak 615,000 meski pun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Walau pun kereta import ada pasaran sendiri, namun oleh kerana harga melebihi RM100,000, kita jangkakan kita terima tamparan yang lebih tinggi daripada kereta tempatan.

"Sebab itu, kita mohon kerajaan atau BNM supaya longgarkan sikit syarat untuk pinjaman kereta," katanya.

Mengenai jualan kereta import di negara ini, Zainuddin berkata, secara keseluruhannya, nilai jualan tidak statik kerana harga kereta import berbeza-beza.

Bagaimana pun, katanya jumlah cukai jualan yang dibayar oleh pengimport kereta tahun lepas ialah hampir RM1 bilion. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan