Sultan Johor Nasihat Rakyat Jangan Belakangkan Undang-Undang Negara

Diterbitkan: Ahad, 13 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULAIJAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan rakyat supaya tidak membelakangkan undang-undang negara ini dalam mengemukakan sesuatu tuntutan terhadap kerajaan.

Menurut baginda, pada ketika ini terdapat di kalangan rakyat negara ini yang suka bertindak sehingga boleh mengugat keselamatan dan ketenteraman awam seperti mengadakan perhimpunan jalanan.

"Negara kita telah bebas dan merdeka, tetapi ia tidak bermakna kita bebas untuk berbuat sesuka hati dan melanggar undang-undang negara ini," katanya ketika melancarkan Kembara Mahkota Johor 2012 di TJ Mart, Saleng hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baginda yang mengetuai konvoi bermotosikal Kembara Mahkota Johor itu bertitah, matlamat penganjuran perhimpunan jalanan itu hanyalah untuk meraih publisiti daripada media antarabangsa dan menjatuhkan imej negara.

"Mereka mahu menunjukkan negara kita berada di dalam keadaan huru-huru," kata baginda pada ribuan hadirin pelbagai bangsa dan kaum yang menghadiri majlis perasmian Kembara Mahkota Johor itu.

Yang turut menghadiri majlis pelancaran itu termasuk Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Johor.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyertai Kembara Mahkota Johor tahun ini.

Sultan Johor meminta rakyat negara ini supaya menggunakan saluran yang betul dan sah di sisi undang-undang dalam mengemukakan tuntutan mereka dan tidak sesekali melanggar undang-undang negara ini.

"Jangan buat tindakan yang sesuka hati atau membelakangkan undang-undang," titah baginda, sambil meminta rakyat supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara.

Baginda berkeyakinan segenap lapisan rakyat negara ini tidak kira agama, bangsa mahupun kaum mahukan kehidupan yang penuh dengan kedamaian dan ketenteraman.

Sultan Johor juga meminta rakyat supaya hidup bersatu padu.

Sementara itu, menurut baginda, program Kembara Mahkota Johor memberi peluang kepada baginda untuk meninjau perkembangan terkini rakyat negeri ini serta mengeratkan hubungan dengan mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri menerusi program tinjauan mesra beliau.

Baginda mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana hadir pada majlis pelancaran Kembara Mahkota Johor serta terhadap sumbangan kerajaan terhadap tabung Yayasan Kembara Mahkota Johor.

Titah baginda, sumbangan kerajaan terhadap tabung itu adalah sekali ganda lebih besar berbanding tahun lepas dan ia digunakan bagi membeli barangan yang akan mengubah kehidupan para penerima.

Sultan Johor turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri terhadap keprihatinan beliau dalam membantu rakyat Johor.

Kembara Mahkota Johor 2012 yang merupakan kali ke-13 dianjurkan, akan menjelajah sejauh 1,012 km meliputi beberapa daerah di Johor, membolehkan Sultan Johor menemui pelbagai lapisan rakyat negeri ini.

Ia akan tamat pada 16 Mei ini di Johor Baharu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan