Semua Pintu Masuk Dipantau Untuk Pastikan Kobis Import Bebas Formaldehid

Diterbitkan: Sabtu, 12 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang memantau semua pintu masuk serta pasaran bagi memastikan kobis import yang dijual di negara ini tidak mengandungi formaldehid.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan mengandungi bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan dianggap melakukan kesalahan.

"Mereka yang didapati bersalah akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata kementerian mengambil maklum laporan laman sesawang www.chinapost.com.tw bertarikh 8 Mei mengenai penahanan beberapa penjual kobis di China kerana didapati menyembur formaldehid pada tanaman itu. "Sehingga hari ini, kementerian telah menjalankan analisis terhadap 24 sampel sayur-sayuran termasuk kobis bagi mengesan kandungan formeldehid, namun tiada sebarang kesan kandungan formaldehid pada semua sampel tersebut. "Merujuk kepada data import daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia bagi tahun 2010 sehingga April 2012, sejumlah 47 tan metrik kobis bernilai kira-kira RM43 juta telah diimport dari China," katanya.

Beliau berkata pada 2010 hingga 2011, kementerian menganalisis 6,477 sampel ikan bagi memantau paras formaldehid dan mendapati ia berada pada paras 0.02ppm hingga 92.3ppm.

"Berdasarkan data tersebut, kementerian telah menjalankan penilaian risiko pendedahan formaldehid dalam ikan ke atas pengguna, dan mendapati bahawa risikonya adalah rendah serta tidak akan mendatangkan kesan kepada kesihatan," katanya.

Dr Hassan menjelaskan formaldehid adalah sejenis bahan kimia yang digunakan bagi memastikan kobis sentiasa segar sepanjang perjalanan sebelum dipasarkan ke negara pengimport. "Formaldehid boleh menyebabkan kesan keradangan pada kulit, masalah pernafasan serta penghadaman sekiranya seseorang itu terdedah kepada bahan kimia tersebut secara berlebihan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian yang sentiasa peka serta prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam pengguna, memberi jaminan keselamatan dan kualiti makanan di negara ini adalah pada tahap terkawal.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung keselamatan dan kualiti makanan yang dilaksanakan kementerian melalui laman sesawang fsq.moh.gov.my. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan