PM Mahu Kerjasama Antara Pekerja, Majikan Dan Kerajaan Diperkukuhkan

Diterbitkan: Sabtu, 12 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan warga pekerja dari seluruh negara ketika hadir pada majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2012 yang bertemakan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan warga pekerja dari seluruh negara ketika hadir pada majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2012 yang bertemakan "Pekerja Berinovatif Penggerak Tranformasi" di Pusat MAEPS, Serdang, Sabtu. -fotoBERNAMA

SERDANG: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kerjasama erat antara pekerja, majikan dan kerajaan terus diperkukuhkan bagi meningkatkan produktiviti dan menjayakan agenda transformasi negara.

Perdana Menteri berkata aspek itu merupakan nadi utama dalam menyuburkan konsep situasi yang menguntungkan semua tanpa menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.

"Saya penuh yakin dengan kerjasama ketiga-tiga pihak antara pekerja, majikan dan kerajaan maka kita akan terus kukuh membentuk persefahaman dan kesepakatan jitu ke arah mewujudkan suasana dan perhubungan harmoni dan kondusif," katanya pada perhimpunan Hari Pekerja 2012 yang diadakan di sini, Sabtu.

Najib berkata sekiranya ketiga-tiga pihak mempunyai hubungan yang cukup baik dan padu, sudah pasti usaha mentransformasi negara akan berjalan lancar.

Hadir bersama ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Senator Datuk Maznah Mazlan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Datuk Azman Shah Haron dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan.

Najib berkata dalam ekonomi dunia yang tidak menentu dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat di kebanyakan negara, Malaysia mampu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.1 peratus tahun lalu.

Katanya kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa persefahaman dan kesepakatan antara ketiga-tiga pihak.

Najib berkata ia juga memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk berani melaksanakan pelbagai program dan pembaharuan termasuk, kenaikan gaji pekerja sektor awam dari tujuh hingga 13 peratus, gaji minimum pekerja sektor swasta RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Para pekerja dapat mengecapi tahap hidup yang lebih baik lagi, pendapatan yang lebih tinggi dan kemudahan-kemudahan yang lebih selesa kerana kita telah dapat mengurus pentadbiran negara serta membuktikan dasar-dasar yang telah membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang boleh dikatakan memberangsangkan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu," katanya.

Menurutnya kerajaan juga berjaya mengawal kadar pengangguran di negara ini di bawah tiga peratus, iaitu suatu angka yang didefinisikan sebagai mencapai guna tenaga penuh.

Dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan semua pekerja dipelihara, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memberikan pelbagai inisiatif kepada sektor swasta seperti mana sektor awam untuk meningkatkan nilai tambah mereka dalam usaha melahirkan pekerja mahir dan berpendapatan tinggi.

"Ini amat penting kerana kita tidak boleh bersaing dengan aspek kos buruh yang rendah dalam negara ini. Kita mesti menambahkan daya saing negara kita, bukan melalui subsidi daripada kerajaan," katanya.

Katanya, syarikat dan organisasi perlu meningkatkan produktiviti dan daya saing dengan menggunakan segala kelebihan yang ada termasuk teknologi tinggi dan peluang perniagaan yang disediakan agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, beliau gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berjaya mengumpul pendapatan sebanyak RM23 bilion tahun lalu.

"Ini adalah contoh produktiviti mantap yang mana jabatan dan agensi lain perlu menambahkan produktiviti mereka. Dengan ini kita boleh membayar gaji yang lebih tanpa menjejaskan ekonomi negara," katanya.

Katanya tidak wajar mana-mana pihak menuntut peningkatan gaji tanpa meningkatkan produktiviti yang merupakan aspek penting dalam menentukan kejayaan dan kemajuan sesuatu organisasi mahupun negara. "Kita kena faham bukan menuntut peningkatan gaji secara membuta tuli tetapi kita mesti meningkatkan produktiviti," katanya.

Najib berkata begitu juga dengan pemberian tambahan RM200 kepada pekerja estet milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antaranya Sime Darby Plantation, sebagai insentif tambahan kepada pekerja tempatan dan ex-gratia kepada pekerja asing yang ternyata menambah produktiviti syarikat itu sehingga 10 peratus.

"Ini yang dikatakan situasi menang-menang, pekerja pun untung, majikan pun untung. Ia harus diberi perhatian untuk menjadi model yang baik. Kalau pekerja rugi syarikat pun rugi, negara pun rugi. Situasi menang-menang ini adalah falsafah yang dipegang oleh kerajaan," katanya.

Sebagai menghargai sumbangan dan peranan MTUC dan Cuepacs terhadap produktiviti negara, Najib turut mengumumkan 10 Kedai Rakyat 1Malaysia, iaitu masing-masing lima kedai bagi organisasi berkenaan, untuk membantu menambah pendapatan serta meringankan beban kewangan. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan