Kerajaan Selangor Dikritik Isu Penempatan Semula Kuil

Diterbitkan: Sabtu, 12 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penganut agama Hindu di sebuah kuil berusia 50 tahun di Petaling Utama mengkritik tindakan kerajaan negeri Selangor kerana membiarkan mereka kebingungan untuk sekian lama berhubung cadangan penempatan semula kuil berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bangunan Kuil Sri Ananda Murugan R.Ilango kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang sering berdolak-dalik dengan jawatankuasa kuil selain tidak berusaha mencari satu penyelesaian konkrit bagi melaksanakan penempatan semula rumah ibadat itu.

"Sudah lama kami minta untuk berpindah. Pada mulanya, kerajaan negeri bersetuju memberikan kami satu lokasi, tetapi kemudian mereka memaklumkan tanah itu akan digunakan untuk membina pangsapuri.

"Kini, mereka hanya mendiamkan perkara itu," katanya kepada Bernama selepas satu upacara khas di kuil itu, yang dihadiri Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Kuil itu, yang sepatutnya dipindahkan ke seberang jalan yang terletak 200 meter dari lokasi asal, masih menunggu pengesahan daripada kerajaan negeri sejak 2010. Pada ketika ini, kuil itu berada di atas sebidang tanah yang dikenal pasti untuk pembinaan sebuah sekolah rendah.

Sementara itu, D'Cruz berjanji akan menyelesaikan masalah penempatan semula kuil tersebut jika Barisan Nasional berjaya merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan