Wan Ahmad Enggan Layan Pembangkang

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: "Buang masa, saya tak mahu layan fitnah pembangkang," demikian reaksi tegas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar terhadap kontroversi dakwaan statusnya sebagai ahli Umno yang makin berterusan.

Tambah Wan Ahmad, beliau enggan memanjangkan isu mengenai keanggotaannya dalam parti politik kerana kerana menyedari ia sengaja ditimbulkan pembangkang bagi kepentingan politik mereka.

"Biaralah mereka...terserah kepada mereka nak cakap apa. Tak guna saya panjangkan lagi perkara ini kerana sejak daripada awal mereka buat tuduhan ini kerana matlamat politik.

"Semua tuduhan itu berniat jahat yang sengaja untuk mengaibkan saya serta merosakkan kredibiliti SPR," katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.

Wan Ahmad mengulas mengenai dakwaan terbaru Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa beliau dan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak mengisytihar status keanggotaan mereka dalam parti politik selepas tiga bulan dilantik ke jawatan masing-masing.

Menurut Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang, kegagalan berbuat demikian melanggari Fasal 4A, Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu Wan Ahmad sekali menggesa Saifuddin memohon maaf secara terbuka kepadanya kerana membuat dakwaan palsu kononya beliau merupakan ahli Umno Cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas, Kelantan.

"Kalau beliau gentleman sila minta maaf secara terbuka kerana memfitnah saya sebelum ini. Apa salahnya nak minta maaf?

"Beliau hanya berani buat dakwaan, tapi tak berani nak minta maaf bila saya dah buktikan segala-galanya," katanya.

Saifuddin sebelum ini pernah membuat dakwaan palsu kononya Wan Ahmad berdaftar di cawangan Kubang Bunggor dalam DUN Chetok bagi Parlimen Pasir Mas, Kelantan dengan no.keahlian 2374564.

Bagaimanapun individu yang dimaksudkan Setiausaha Agung PKR itu sebenarnya ialah seorang ahli Umno yang memiliki persamaan nama dengan beliau.

Orang berkenaan ialah Wan Ahmad Wan Omar, pemegang MyKad bernombor 490101-03-5179 (Kad Pengenalan lama: 2756290), No Keahlian UMNO 2374564, cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas, Kelantan.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan