Pemuda MIC Nafi Dakwaan PKR Serangan Di Hadapan Pejabat PM Dirancang

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC pada Jumaat menafikan dakwaan Naib Presiden PKR N. Surendran bahawa pergelutan yang berlaku baru-baru ini di Pejabat Perdana Menteri membabitkan anggota kedua-dua parti adalah serangan jenayah yang dirancang terlebih dahulu.

Ketua Pemudanya, T. Mohan, berkata beliau langsung tidak menyangka Surendran akan mengeluarkan kenyataan seperti itu memandangkan siasatan polis masih berjalan.

"Dakwaan itu sememangnya bohong belaka... kami ke sana hanyalah untuk menyerahkan kad 'terima kasih' kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi entah bagaimana, kunjungan itu berakhir dengan pertelingkahan memandangkan mereka (anggota PKR) menghamburkan kata-kata kesat terhadap kami," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Mohan berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada polis, sambil menambah polis telah merekodkan kenyataan daripada tujuh anggota MIC itu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR, Surendran yang menunjukkan gambar pergelutan MIC-PKR kepada pemberita, berkata gambar itu menunjukkan bahawa anggota Pemuda MIC telah membangkitkan kemarahan mereka dengan kata-kata kesat.

Pada 2 Mei, Surendran mengetuai sebuah delegasi PKR ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan satu memorandum, menuntut MyKad bagi pelajar berusia 17 tahun, B. Reshina untuk membolehkannya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

Pada ketika itu, Mohan membawa sekumpulan besar delegasi ke sana untuk mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana usahanya membantu kaum India. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan