Kerajaan BN Mampu Sedia Persekitaran Kondusif, Mesra Perniagaan - PM

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif dan mesra perniagaan untuk membolehkan usahawan mikro, kecil dan sederhana mengembangkan dan memajukan perniagaan mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata persekitaran perniagaan sedemikian juga dapat menyakinkan syarikat-syarikat luar untuk terus melabur di Malaysia, yang sekaligus memperluas lagi potensi perniagaan syarikat-syarikat tempatan.

"Justeru itu, kita perlu letak perkara ini pada perspektif yang sebenar. Maknanya masa hadapan pengusaha kita tidak boleh dilihat sebagai satu cabaran sosioekonomi sahaja... ini bukan soal model bisnes saja... ini bukan soal potensi perniagaan.

"Pihak pelabur dari luar negara tidak akan membuat keputusan melabur jika mereka tidak mengiktiraf kita sebagai sebuah negara, di mana kerajaan pusatnya dapat menjalankan dasar yang begitu mesra untuk pihak pelabur dalam dan luar negara," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan SME Corp, di Kompleks Karangkraf, di sini Khamis.

Menurut Najib kerajaan tidak meletakkan politik sebagai keutamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat, termasuk usahawan, selain meningkatkan peluang pekerjaan.

Perdana Menteri bagaimanapun kesal kerana Kerajaan Negeri Selangor mempolitikan soal pembangunan yang boleh memanfaatkan rakyat seperti yang dilakukannya terhadap Projek Langat 2, yang bertujuan menyalurkan air mentah proses dari Pahang ke Selangor bagi mengatasi masalah air yang serius di negeri ini.

"Kalau tak ada air, amat susah bagi usahawan mikro, sederhana... perusahaan besar lagi susah, orang ramai pun lagi susah. Tiada kerja, perut lapar, marah," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata isu bekalan air di negeri pembangkang ini sangat serius hingga menyebabkan 129 kilang dengan nilai pelaburan RM3.8 bilion, dan mampu menjana 12,300 peluang pekerjaan serta sejumlah projek perumahan, tidak dapat dilaksanakan.

"Kilang-kilang ini tidak dapat diberikan kebenaran (beroperasi) kerana jurang rizab air tinggal 2.4 peratus sahaja. Sepatutnya margin 20 peratus. di Selangor ini begitu nipis sekali cuma 2.4 peratus," katanya.

Najib juga berkata penduduk Selangor khususnya Shah Alam antara rakyat Malaysia yang bernasib baik kerana dapat menikmati pelbagai pembangunan prasarana selain rantaian perniagaan dan pembangunan kawasan perniagaan dan pusat pertumbuhan baharu hasil usaha gigih kerajaan BN.

"Kita sama-sama dapat menikmatinya kerana dalam tempoh 50 tahun, kerajaan BN telah membangunkan Selangor dengan begitu baik sekali.

"Tentu sekali segala kemudahan yang kita kecapi (di Selangor) hari ini tidak boleh dibangunkan dalam tempoh sepenggal sahaja, malah tempoh masa tidak cukup sepenggal sepenuhnya empat tahun sahaja," katanya merujuk kepada Kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat yang mendakwa kononnya pembangunan di negeri ini adalah atas usaha mereka.

"Hakikatnya, pembangunan Shah Alam sebagai satu pusat pembangunan baharu bermula sejak 1970-an lagi hasil usaha BN," katanya. Beliau berkata pembangunan sesebuah negeri atau pusat pertumbuhan baharu seperti Shah Alam, mengambil masa lebih sedekad dan melalui dua hingga tiga generasi.

Beliau berkata hasil pembangunan pesat di Selangor yang diusahakan BN, negeri ini mendahului negeri lain dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu RM130 bilion atau 22.1 peratus daripada keseluruhan KDNK negara pada 2011.

Pada majlis itu, Najib juga melancarkan Skim Pembiayaan Patuh Syariah dengan saiz dana berjumlah RM500 juta bagi membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana menghasilkan produk atau perkhidmatan berinovasi yang berada pada tahap pengkomersilan.

Beliau berkata skim itu ditawarkan kepada pengusaha PKS yang layak mulai Julai ini dan kerajaan akan membayar dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan yang dikenakan oleh bank terhadap peminjam.

Kerajaan juga meluluskan pinjaman mikro kredit berjumlah RM2 bilion menerusi TEKUN bagi membantu usahawan kecil dan sederhana sejak 1998.

Najib berkata selain itu, Dana Kecemasan PKS berjumlah RM10 juta disediakan bagi membantu mereka yang perniagaannya terjejas akibat bencana alam seperti banjir, hakisan pantai dan tanah runtuh.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat satu juta PKS di seluruh negara yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalannya Datuk Mukhriz Tun Mahathir serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan