Isu Lynas Perlu Ditangani Secara Saintifik - PSC

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC)mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) pada Jumaat berpandangan bahawa isu projek nadir bumi itu perlu ditangani secara saintifik.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu perlu kerana persoalan yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang membangkitkan mengenai kewibawaan dan keselamatan projek berkenaan bersifat saintifik dan teknikal.

"Jawatankuasa akan menyarankan agar semua pandangan yang telah dikemukakan kepada jawatankuasa ini akan dinilai dari segi kredibiliti saintifiknya dan usaha akan dilakukan untuk mendapatkan 'scientific experts' bagi memberikan pandangan yang bebas terhadap isu-isu yang dikemukakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pendengaran awam mengenai projek Lynas bersama PSC di kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, Jumaat.

Sesi itu turut disertai tujuh kumpulan orang awam dan enam anggota PSC lain termasuk Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin dan Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata isu Lynas yang menjadi kebimbangan orang awam memerlukan ketelusan dari semua aspek, termasuk maklumat yang diperkukuhkan dengan bukti-bukti saintifik kerana hanya sokongan daripada bukti tersebut keyakinan awam dapat dikembalikan.

"Lynas adalah projek strategik yang impaknya amat besar terhadap masa hadapan pembangunan sains dan teknologi di Malaysia. Tanggungjawab jawatankuasa ini adalah memastikan semua kebimbangan, saranan serta teguran masyarakat awam diberikan perhatian tinggi.

"Ini pelu bagi memastikan projek sebegini tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan kesejahteraan masyarakat awam serta kelestarian alam sekitar," katanya.

Katanya menerusi sesi pendengaran awam itu juga PSC berpendapat tidak semua pihak yang dilihat membantah projek berkenaan, malah ada yang bersetuju ia diteruskan.

"...tetapi persetujuan itu dengan syarat ia memerlukan penguatkuasaan yang ketat bagi memastikan projek berkenaan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata PSC akan mengadakan satu lagi sesi pendengaran pada 21 Mei ini di Kuala Lumpur dan segala dapatan pada tarikh tersebut serta sesi kunjungan ke kilang Lynas dan pendengaran awam semalam dan hari ini akan dibentangkan kepada Parlimen pada sesi Dewan Rakyat Jun depan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan