Skim Rumah Pertamaku: Peminjam Perlu Penuhi Kriteria Bank - Awang Adek

Diterbitkan: Khamis, 10 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skim Rumah Pertamaku yang diperkenalkan oleh kerajaan pada Mac tahun lalu bukan jaminan bahawa setiap pembeli kediaman yang berharga antara RM100,000 dan RM400,000 layak diberikan pembiayaan perumahan, persidangan Dewan Negara diberitahu, Khamis.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keputusan muktamad pembiayaan adalah bergantung kepada kemampuan peminjam dan penilai kredit oleh bank-bank yang terlibat.

"Peminjam masih lagi perlu memenuhi kriteria asas yang ditetapkan oleh bank-bank menyertai skim ini," katanya semasa menjawab soalan Senator Lee Cheam Choon.

Cheam Choon ingin tahu mengapa Skim Rumah Pertamaku hanya ditetapkan kepada individu yang mendapat gaji bulanan di bawah RM3,000 untuk hartanah yang tidak melebihi RM250,000.

Awang Adek berkata semasa pembentangan Bajet 2012, kerajaan telah menambah baik skim tersebut dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220,000 kepada RM400,000 bagi membolehkan pembelian rumah melalui pinjaman bersama suami isteri yang masing-masing berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Menurut Awang Adek kriteria itu ditetapkan selaras dengan syarat pembayaran balik jumlah komitmen tidak boleh melebihi 60 peratus daripada pendapatan bersih bulanan atau had pembiayaan maksimum bank yang terlibat untuk mengelakkan pendedahan yang besar terhadap hutang.

Awang Adek berkata sehingga Mac 2012, sejumlah 1,709 permohonan untuk mendapatkan pembiayaan di bawah skim tersebut telah diterima oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat.

Bagaimanapun, beliau berkata daripada jumlah tersebut 589 permohonan tidak diteruskan kerana permohonan berganda dengan institusi kewangan berlainan sekaligus menjadikan jumlah permohonan sebenar skim berkenaan adalah sebanyak 1,120.

Daripada jumlah permohonan sebenar (1,120), sebanyak 399 atau 26 peratus permohonan telah diluluskan, manakala 529 permohonan ditolak dan baki 192 lagi sedang diproses oleh institusi kewangan, katanya.

Beliau berkata sebahagian besar permohanan ditolak adalah disebabkan kegagalan pemohon untuk memenuhi syarat kelayakan pinjaman yang ditetapkan oleh institusi kewangan selain tidak memenuhi kriteria skim. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan