PM Jemput Pelabur Negara OIC Pertimbangkan Projek Di Bawah ETP

Diterbitkan: Khamis, 10 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis, menjemput para pelabur dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menimbangkan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai pelaburan selamat bagi wang tunai berlebihan masing-masing.

Katanya program itu melibatkan pelaburan yang besar di dalam beberapa sektor utama teknologi canggih, yang termasuk teknologi hijau dan diperbaharui, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan serta hospitaliti.

"Kebanyakan pembiayaan yang diperlukan bagi ETP akan diperolehi dari sumber domestik tetapi kami juga menimbangkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi melengkapi usaha ini," katanya di dalam ucaptama di Forum Pelaburan Kumpulan Malaysia-Bank Pembangunan Islam (IDB) di sini.

Najib berkata negara-negara pengeluar minyak di Timur Tengah perlu melabur di Asia baharu ini.

"Anda mempunyai peranan untuk dimainkan di dalam pembangunan kami dan anda akan mendapat manfaat di dalam kepentingan itu dalam masa depan kami."

"Dahulu, anda merasakan selamat dan menguntungkan untuk melabur modal lebihan anda di negara-negara Barat. Kini adalah masanya melakukan perkara yang sama di negara sebelah timur," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia adalah gerbang negara-negara pengeluar minyak untuk memasuki rantau Asia.

Sebagai contoh, katanya Komuniti Ekonomi Asean, yang akan dilaksanakan pada 2015, akan menyaksikan Malaysia menjadi gerbang kepada pasaran serantau bagi hampir 600 juta penduduk dengan tarif sifar bagi 99.4 peratus daripada produk yang boleh didagangkan.

Perdana Menteri berkata perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani oleh Asean dan ekonomi-ekonomi utama Asia bermakna pemasaran keutamaan kini mencecah 3.2 bilion pengguna, yang termasuk penduduk India, Korea, Australia dan New Zealand.

"Ia merupakan pasaran di mana taraf kehidupan sedang meningkat dan perbelanjaan barangan pengguna sedang meningkat dengan tetap."

"Itulah yang saya maksudkan semasa saya menyatakan bahawa melakukan perniagaan dengan Asia melalui Malaysia memberikan kelebihan strategik utama," katanya.

Perdana Menteri berkata ciri-ciri ke arah pembangunan yang dipersetujui sebagai penting bagi mencapai kejayaan ialah keupayaan negara-negara membangun menggunakan lebihan kekayaan secara berfaedah.

Dengan lain perkataan, negara-negara yang berjaya melakukan perubahan telah mempelajari cara-cara untuk melabur dan melabur dengan betul, katanya.

Secara ringkasnya, katanya keupayaan mendapatkan kemahiran asas kapitalisme telah membolehkan masyarakat berkenaan menjadi lebih makmur dan membangun.

Najib berkata pergerakan untuk maju telah mencetuskan kesedaran baharu di seluruh dunia di mana beberapa negara miskin telah menjadi kurang miskin dan tidak kurang negara berpendapatan sederhana menyertai kelompok negara-negara kaya.

"Pemerhatian ini menjurus kepada satu perkara, iaitu perubahan sistematik dari barat ke timur di dalam pengagihan kekayaan ekonomi dan kuasa di seluruh dunia."

"Sambil sukar untuk meramalkan berapa jauh perubahan itu akan berlaku, adalah adil untuk menyatakan bahawa ia merupakan usaha yang tidak mengenal penat lelah," katanya.

Katanya perubahan itu telah memberi kesan secara dua tahap pada peringkat, iaitu global dan negara, terhadap Malaysia.

Secara globalnya, katanya wujud perubahan pada corak permintaan bagi mendapatkan sumber yang diperlukan oleh negara-negara untuk membangun dan berkembang - iaitu tenaga, bahan mentah seperti galian, keluaran pertanian serta barangan dikilang dan pengguna.

"Dengan itu, rantaian bekalan yang bertaburan di seluruh dunia telah mencorakkan aliran barangan dan perkhidmatan."

"Sama juga, pada peringkat negara, tiada negara yang terlepas dari proses penstrukturan semula global yang berselirat dan setiap satu daripada kita perlu mengubah suai strategi kita untuk menyesuaikan dengan keadaan ekonomi global yang baharu," katanya.

Sambil Timur Tengah kekal penting sebagai rezab minyak yang besar dan terus menampung pasaran tradisi di barat, Najib berkata ia perlu juga respons kepada keperluan Asia yang baharu yang berkembang dan lebih berkeyakinan.

"Berbilion dolar dibelanjakan bagi memodenkan ekonomi di bahagian ini dengan jutaan rakyatnya keluar dari kemiskinan dan menjadi masyarakat kelas pertengahan, di mana perbelanjaan pengguna dijangka meningkat," katanya.

Katanya kejayaan ekonomi jangka panjang mana-mana negara bergantung kepada keupayaannya untuk melabur sumber lebihannya secara bijak. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan