Masyarakat India Berarak Hantar Memorandum Kepada MB Selangor

Diterbitkan: Khamis, 10 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Hampir 500 orang India berhimpun di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri hari ini untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung apa yang disifatkan mereka sebagai janji kerajaan negeri yang tidak ditunaikan.

Disertai anggota Pertubuhan Perikatan Prihatin Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), mereka sebelum itu berarak ke bangunan tersebut dari Dataran Shah Alam mulai pukul 11.30 pagi.

Wakil kumpulan itu, K.Vijiyakumar, berkata memorandum berkenaan dihantar kerana masyarakat India di negeri ini berasa tertipu selepas janji-janji pilihan raya kerajaan pakatan pembangkang tidak ditunaikan walaupun telah empat tahun memerintah.

"Kami semua ditipu malah ditindas membabitkan isu seperti penjualan tanah sekolah, peningkatan kadar sewa Projek Perumahan Rakyat, pemberian tanah kuil dan pemberian biasiswa pendidikan kepada masyarakat India," katanya kepada pemberita.

Vijiyakumar, yang juga setiausaha NGO berkenaan, turut mendakwa kerajaan negeri tidak prihatin dalam memberikan peluang dan platform kepada belia India di Selangor untuk tujuan pembangunan sosial dan ekonomi.

Dokumen itu diserahkan kepada Abdul Razak Ismail, pembantu khas kepada Exco Kerajaan Selangor Dr Xavier Jayakumar, di pintu masuk Bangunan SUK.

"Kami berhasrat untuk beramai-ramai mengadakan mogok lapar jika tiada sebarang tindakan dibuat dalam tempoh dua minggu," kata Vijiyakumar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan