Majoriti Pemilik Tanah Di Jalan Sultan Kini Setuju Projek MRT - Azhar

Diterbitkan: Khamis, 10 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini, 21 daripada 24 pemilik tanah di Jalan Sultan di sini, telah bersetuju membenarkan laluan My Rapid Transit (MRT) dibina dalam kawasan mereka, kata Pengarah Eksekutif Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) Datuk Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 16 telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi memberi laluan kepada pembinaan, dua bersetuju memindahkan perniagaan ke tempat lain dan tiga lagi dalam proses menandatangani MoU.

MRT Corp akan meneruskan perbincangan dengan tiga lagi pemilik yang masih belum bersetuju untuk membenarkan kawasan mereka diguna bagi pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang itu, katanya pada sidang media mengenai perkembangan projek, di sini.

"Kita ingin membangunkan kawasan ini supaya segala masalah yang dihidapi di sini dapat diatasi terutama sekali masalah aliran trafik serta parkir kereta.

"Jika projek ini berjaya kelak, kawasan ini yang terkenal sebagai kawasan tarikan pelancong akan menjadi satu kawasan yang lebih selesa kepada semua pihak khususnya peniaga tempatan dan pelancong," katanya.

Projek MRT Sungai Buloh-Kajang itu apabila siap menjelang 2016, akan mengandungi 31 stesen dan memberi perkhidmatan kepada 1.2 juta orang di sepanjang laluan.

Azhar berkata MRT Corp sentiasa berusaha untuk berkomunikasi bersama pemilik tanah untuk memberi penjelasan lebih lanjut mengenai projek ini yang sememangnya akan mendatangkan banyak faedah.

"Jika mereka merasakan projek ini adakah salah dan tidak memberi apa-apa faedah, saya amat mengalu-alukan pihak tersebut tampil untuk mendapatkan penjelasan daripada saya," katanya.

Beliau turut memaklumkan kerja-kerja merobohkan tiga bangunan milik kerajaan iaitu Hentian Bas Klang, Plaza Warisan serta bangunan Uda Ocean yang telah bermula akan siap pada November ini.

"Saya memberi jaminan bahawa kerja-kerja tersebut tidak akan mengganggu aliran trafik di sekitar jalan terbabit serta akan mengikut jadual bagi memastikan kesulitan akibat projek tersebut dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata jika perlu, jalan hanya akan ditutup dari tengah malam sehingga pukul 5 pagi agar tidak menjejaskan pengguna jalan raya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan