Wanita Warga Iraq Dedah Pengalaman Diseksa Tentera AS

Diterbitkan: Rabu, 9 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur pada Selasa mendengar pengalaman menakutkan seorang bekas tahanan wanita di penjara Abu Ghraib yang terpaksa berdepan seksaan tentera Amerika di Iraq pada 2004.

Jameelah Abbas Hameedi, 57, yang pernah mengetuai Kesatuan Kerjasama di Kirkuk, Iraq, berkata beliau ditendang seperti binatang, ditolak keluar dari kenderaan sebelum diheret di atas jalan raya dan dicampak dari dinding ke dinding.

Ibu tiga anak itu, yang kini menetap di Syria, berkata bagaimanapun pengalaman terburuknya adalah ketika kepala beliau dan anak gadisnya ditutup sebelum mereka dibawa ke suatu kawasan terbuka dalam penjara itu.

"Saya terdengar sedas tembakan dan seorang tentera memberitahu anak gadis saya telah dibunuh. Saya amat lega ketika melihat dia berada berhampiran selnya pada keesokan hari," katanya.

Jameelah turut mendakwa pakaian dalam beliau dilucutkan di depan anak saudara lelakinya oleh tentera Amerika yang berkeras mahu mendapatkan pengakuan bahawa beliau telah membantu pihak yang menentang pencerobohan di Iraq.

Beliau merupakan saksi ketiga yang memberi keterangan kepada tribunal berkenaan yang mendengar pertuduhan jenayah perang serta penyeksaan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat George W.Bush dan tujuh sekutunya.

Kepada soalan Profesor Gurdial Singh Nijar, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berhubung bantuan perubatan ketika dalam tahanan, Jameelah berkata beliau diberikan minyak untuk merawat kecederaannya.

Tribunal itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus, Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Professor Salleh Buang dan Datuk Mohd Saari Yusuf.

Jameelah, yang memberi keterangan dengan bantuan seorang penterjemah bahasa Arab, turut memberitahu tribunal itu dia terpaksa menjalani satu pembedahan di kaki tanpa sebarang ubat bius ekoran kecederaan akibat diseksa tentera Amerika.

Katanya, ketika dunia mengetahui tentang apa yang berlaku di penjara Abu Ghraib, beliau telah ditahan di situ hampir enam bulan.

Perbicaraan disambung Rabu. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan