MCA Tolak Hasrat PAS Perkenal 'Addin'

Diterbitkan: Rabu, 9 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA menolak cadangan PAS bagi meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan frasa yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, iaitu cara hidup yang merangkumi seluruh kehidupan manusia.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pindaan konsep itu akan memberi kesan kepada golongan minoriti bukan Islam di negara ini yang tidak mempraktikkan amalan cara hidup yang terkandung dalam konsep berkenaan.

Katanya sekiranya agama diperkenalkan sebagai amalan cara hidup kepada kumpulan majoriti, ia akan memberi kesan kepada sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya.

"Ia akan menimbulkan banyak isu terutamanya yang berkaitan dengan apa yang boleh dan tak boleh dilakukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di sini, Selasa.

Tambah Dr Chua pengenalan konsep berkenaan dilihat bakal menyamai kerajaan negeri yang diperintah PAS apabila mengharamkan minuman keras.

Sebelum ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan berkaitan agama Islam sekiranya pakatan pembangkang menang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Abdul Hadi juga disebut berkata, Perlembagaan Persekutuan sekarang yang dirangka oleh orang bukan Islam mempunyai ideologi dan teori manusia yang tidak adil kepada umat Islam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan